Pecinta hidupan laut Malaysia teruja setelah menonton video Sepasang Paus Orca atau Killer Whale muncul buat pertama kali di perairan Terengganu. Aksi dan kehadiran paus ini berenang dikesan berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh.
Kemunculan paus itu disedari beberapa kakitangan syarikat itu dan video berdurasi 30 saat dan detik bersejarah itu berjaya dirakam kakitangan pelantar itu.
Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, telah mengesahkan bahawa mamalia itu adalah Paus Orca atau nama saintifiknya Orcinus Orca. Mengikut rekod yang terdapat di FRI Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia, Paus Orca tidak pernah muncul di Terengganu dan tarikh 16 Julai 2019 adalah rekod pertama paus itu muncul di perairan ini. Mereka percaya kedua-dua mamalia marin itu adalah sepasang paus jantan dan betina yang menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi.
Saiz paus itu dianggarkan antara enam hingga lapan meter dengan anggaran berat 5,000 hingga 6,000 kilogram setiap satu. Paus Orca itu sangat digeruni kerana ia adalah pemangsa teratas dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dengan memakan sotong, penyu, burung laut, jerung serta mamalia marin lain termasuk anjing laut dan ikan lumba-lumba.
Ada kalanya paus ini juga menyerang manusia seperti kejadian yang sering berlaku di luar negara. Paus ini mula menjadi perhatian umum dan dibela dalam kurungan bermula tahun 1960-an sehingga hari ini. Sesetengah negara yang mempunyai taman tema akuarium laut seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Jepun, mereka melatih paus ini supaya lebih mesra dengan masyarakat dengan tujuan konservasi, pendidikan dan pertunjukan.
Sumber: Bernama