Ada berita baik buat anda yang gemar membeli-belah di Vietnam. Tahun hadapan Pasar Vietnam pertama yang mempunyai 200 ruang kedai dijadual dibuka di Kuala Lumpur pada Mac 2020 nanti.
Tidak perlu lagi anda bersusah payah membeli tiket kapal terbang semata-mata untuk membeli-belah di Vietnam. Perkara itu diumum dalam satu majlis di Ho Chi Minh City, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Pasar Vietnam di Malaysia bakal menjadi pusat perdagangan terbesar pertama, hasil kerjasama antara kedua-dua negara. Ia diwujudkan berikutan permintaan barangan dan perkhidmatan Vietnam di Malaysia. Pasaran itu akan berfungsi sebagai jambatan untuk meningkatkan eksport barangan Vietnam ke Singapura, Thailand dan pasaran lain di ASEAN.
Pasar Vietnam itu akan terletak di bangunan Safuan Plaza. Di sini bakal menghimpunkan pelbagai jenis perniagaan yang mengeksport produk pertanian, makanan laut, kraftangan, pakaian, peralatan mekanikal, mesin, kosmetik, teknologi proprietari dan industri perkhidmatan Vietnam, selain menjadi lokasi untuk firma Vietnam mengembangkan operasi di Malaysia.
Pasti pasar ini menjadi tarikan untuk berbelanja lebih-lebih lagi sewaktu tibanya perayaan besar di Malaysia seperti hari raya.