Pasar Tani Terapung Di Sungai Pengkalan Datu, Jadi Tarikan Pengunjung Ke Kota Bharu

Share

Pasar Terapung Pulau Suri, Tumpat bukan pasar terapung tunggal yang ada di negeri Kelantan. Malah ada satu lagi pasar terapung yang tidak kurang hebatnya yang mula dibuka kepada orang ramai pada September 2017 itu turut memiliki tarikan tersendiri.

Baca: https://www.libur.com.my/pulau-suri-di-tumpat-kelantan-ada-pasar-terapung-rare/

Selain terletak lebih dekat dengan bandar Kota Bharu, pasar terapung itu turut dikenali sebagai ‘Pasar Tani Pelancongan’. Ia terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan hanya 10km dari Kota Bharu.

Seperti pasar terapung di Pantai Suri, pasar terapung Pengkalan Datu juga hanya beroperasi pada hari Sabtu iaitu bermula jam 8 pagi hingga 2 petang. Kebanyakan pengunjung yang datang ke sini bukan sahaja untuk menikmati pelbagai juadah dan barangan tradisional tempatan malah tangkapan hidupan laut segar daripada nelayan setempat.

Di pasar ini, pengunjung masih boleh mendapatkan sajian makananan yang masih mengekalkan keaslian tradisi hasil yang menyelerakan dan paling penting harganya cukup berbaloi dan murah. Antara menu kegemaran ramai di pasar ini seperti nasi kerabu, kuih jala mas, kuih tahi itik, dan kuih Asam Gumpal iaitu kuih tradisional yang lemak manis diperbuat dengan biji sagu dan berinti, serta dimasak dengan kuah santan.

Apa yang menariknya, sambil membeli-belah dan menikmati juadah, pengunjung juga turut dihiburkan dengan beberapa persembahan kebudayaan dan aktiviti yang menarik. Nah! tidak perlu bersusah payah untuk ke luar negara semata-mata ingin merasai pengalaman membeli-belah di pasar terapung, di negara kita semuanya ada!

Jom cuti-cuti di Kelantan~

Sumber: Malaysia Aktif

Oleh
Husna