Jika ke Terengganu kalau tidak singgah ke Pasar Payang memang tidak lengkap kunjungan anda itu. Pelbagai barangan jualan produk popular di Terengganu boleh anda dapatkan di bangunan dua tingakt ini termasuk kain batik, sutera dan songket. Manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual barangan basah serta pelbagai rempah ratus dan barang kemas.
Menjadi ikon Terengganu sejak tahun 1968, lokasi pasar ini terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir Sungai Terengganu. Pasar Payang berada pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1980-an, sehingga berjaya menarik pelancong dari dalam serta luar negeri. Pasar ini beroperasi setiap hari seawal 7 pagi hingga 6 petang.
Terkini, dikatakan wajah Pasar Payang akan diubah, apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu, untuk digantikan dengan pasar lebih moden, selesa dan mesra pengunjung, bermula April ini.
Kesemua peniaga sudah diarahkan berpindah secara berperingkat ke bangunan yang terletak hampir 80 meter dari bangunan asal, sementara Pasar Payang baharu, yang menelan belanja RM50 juta dijangka siap dua tahun lagi.
Pasar ini tentunya meninggalkan pelbagai memori terutamanya, bagi peniaga asal di situ. Sebelum adanya kompleks pasar seperti hari ini, Pasar Payang hanya terdiri dari deretan kedai kecil yang menjual barang keperluan dan di satu sudut lain diisi oleh beberapa peniaga sayur serta buah-buahan.
Pada 1964 barulah ia dibangunkan sebagai sebuah pasar, bagi menempatkan peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Nama Kedai Payang pula dikekalkan bagi memelihara sejarah tempat asal itu sendiri. Pasar Payang dirasmikan Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah 31 Ogos 1968 yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong keempat.
Nama Pasar Payang diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri itu, dan pada awalnya ia hanyalah gerai berasaskan kayu dan dinaik taraf pada 1968.
Sumber: Bernama Sumber Foto: Google Image
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI