Beijing dikejutkan dengan kes wabak COVID-19 kembali meningkat.
Pihak berkuasa Beijing menutup sementara pasar pertanian borong utamanya, Pasar Xinfadi susulan peningkatan jumlah jangkitan kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu. Pasar Xinfadi mula ditutup bermula jam 3 pagi 13 Jun 2020 lalu selepas dua lelaki yang bekerja dengan Pusat Penyelidikan Daging telah disahkan positif COVID-19 dan telah mengunjungi pasar berkenaan sebelum ini. Bagaimanapun, tiada laporan jelas menunjukkan bagaimana dua lelaki berkenaan mendapat jangkitan virus berkenaan.
Beijing turut bertindak menghentikan perdagangan daging lembu dan daging kambing di pasar Xinfadi selain penutupan pasar borong lain di sekitar bandar itu. Susulan itu, kira-kira 10,000 individu di pasar berkenaan dilaporkan akan menjalani ujian COVID-19.
Media tempatan turut melaporkan kebanyakan peniaga di pasar besar di Beijing mengeluarkan ikan Salmon dari rak jualan mereka apabila papan cincang yang digunakan didakwa tercemar dengan COVID-19.
Ketika ini, China mula bimbang dengan kemungkinan berlaku gelombang kedua COVID-19 dalam keadaan banyak negara lain mula menunjukkan penurunan kes. Malah, cadangan membuka semula sekolah untuk kelas satu hingga tiga turut ditangguhkan susulan perkembangan itu.
Sumber: astroawani