Pantai Pasir Hitam Langkawi Simpan Kisah Peperangan Lagenda Yang Ramai Tak Tahu!

Share

Anda pernah lihat satu fenomena alam di mana pasir pantai yang biasa kita lihat berwarna putih atau keperangan, menjadi hitam dan menutupi sebahagian permukaan pantai?

Kebiasaanya, fenomena unik sebegini berlaku dan dilihat di luar negara, tapi tahukah anda, fenomena pantai pasir hitam ini sebenarnya ada di negara kita sendiri! Ianya dikenali sebagai Pantai Pasir Hitam di Pulau Langkawi, Kedah.

Menurut sejarah atau cerita rakyat yang dibawa turun temurun di Kampung Pasir Hitam ini, pantai berkenaan bertukar hitam akibat daripada peperangan lagenda yang terjadi satu masa dulu kala.

Ceritanya begini, dikatakan satu masa dulu, berlaku pertempuran diantara Kerajaan Darat dan Kerajaan Laut. Kerajaan Laut mendominasi peperangan yang terjadi ketika itu dek kerana memiliki kekuatan tentera yang lebih hebat dan ramai daripada Kerajaan Darat.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Darat dikatakan bertuah kerana kehadiran seorang pendeta yang menasihatkan supaya dibakar kayu-kayan di persisir pantai untuk mengelirukan tentera Kerajaan Laut.

Ketika malam menjelma, Kerajaan Laut melihat obor api yang banyak serta marak di persisir pantai dan menyangka bahawa Kerajaan Darat sudah menerima ketumbukan tentera baru yang ramai, lalu berundur dan melarikan diri daripada peperangan tersebut.

Kesan daripada strategi pembakaran kayu yang dilakukan, maka terjadilah kesan seperti hitam arang yang sangat banyak dan boleh dilihat dengan mata kasar di persisir Pantai Pasir Hitam ini namun kehitamannya tidak sama seperti hitam kesan terbakar kayu api.

Kajian saintifik yang dijalankan mendapati pasir di Pantai Pasir Hitam ini mempunyai kandungan tourmalin dan ilmenit yang tinggi dalam batuan granit dan membuatkan hanya pasir Pantai Pasir Hitam di Langkawi ini sahaja berwarna kehitaman, tidak terdapat di mana-mana lagi pantai lain seluruh negara!

Untuk pengetahuan anda, ilmenit adalah bahan yang banyak terdapat dalam kandungan titanium dioxide dan digunakan secara meluas dalam pembuatan plastik, cat berkualiti tinggi dan juga kertas. Satu lagi fakta yang mungkin menarik perhatian anda adalah, ilmenit juga adalah bahan yang dijumpai dalam batu-batuan yang terdapat di permukaan bulan!

Jadi itu adalah sedikit sebanyak kisah lagenda dan info menarik yang dapat saya kongsikan berkenaan tempat tumpuan pelancongan di Langkawi ini.

Untuk anda sampai ke Kampung Pasir Hitam ini cukup mudah dari Pekan Kuah, Langkawi. Sekitar 30 minit pemanduan sahaja melalui jalan kampung yang tenang dan dipenuhi tumbuh-tumbuhan luar bandar di sekeliling laluan tersebut.

Sewaktu kali pertama saya menjejakkan kaki di sini, kawasan Pantai Pasir Hitam ini luas dan sebahagian daripada pesisirnya menjadi tempat berlabuh kepada bot-bot nelayan. Fasilitis yang disediakan di sekitar tempat ini juga lengkap untuk kemudahan para pengunjung.

Anda tidak perlu risau dengan masalah tandas awam, restoran makanan, dan tempat permainan untuk kegunaan anak-anak kecil berseronok terutama di kala musim cuti persekolahan. Saya boleh katakan berbaloi untuk anda datang berkelah di sini selain daripada pantai-pantai lain yang terdapat di Pulau Langkawi.

Saya cadangkan datang ke pantai ini pada waktu pagi untuk anda merasai dan mengalami sendiri suasana pagi di kawasa. Kampung Pasir Hitam. Cukup menarik untuk lari sebentar dari riuh rendah bandar yang membejatkan. Kali terakhir saya berkunjung ke sini pada hujung minggu, pantai ini kurang didatangi pengunjung, jadi pasti sesuai untuk anda lari mengasingkan diri dari orang ramai!

Oleh
Admin