Amerika Syarikat (AS) menjadi negara tertinggi kes COVID-19 di dunia ketika ini. Sungguhpun begitu, angka tersebut sedikit pun tidak menakutkan penduduknya untuk terus ‘hidup seperti normal’.
Mengejutkan apabila pantai dan taman di Jacksonville, Florida mula dibuka minggu lalu walaupun negara lain masih mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Penduduk di Florida sebelum ini merungut kerana tidak dapat pergi ke pantai akibat perintah pergerakan. Pemandangan di Pantai Jacksonville agak membimbangkan apabila orang ramai dilihat tidak mengamalkan langkah keselamatan. Orang ramai juga mula keluar dengan tuala, penyejuk badan dan ada yang berjemur tetapi hanya segelintir sahaja yang memakai topeng muka.
Datuk Bandar Jacksonville, Lenny Curry. berkata pembukaan pantai ini akan menjadi permulaan untuk jalan menuju kehidupan yang normal. Dia juga berharap orang ramai menghormati syarat yang ditetapkan supaya keselamatan diri dan jiran dapat dijaga.
Di portal Dailymail UK, netizen satu dunia turut meninggalkan komen mengecam pembukaan pantai tersebut yang dianggap boleh memburukkan lagi keadaan kes COVID-19 di negara tersebut.
Sumber: Dailymail UK| SinarHarian