Pantai Chenang, Langkawi Sunyi Sepi

Share

Tidak terjangkau oleh akal, Pantai Chenang yang riuh menjadi lokasi tumpuan pelbagai kegiatan sukan air, bersantai, serta merakam gambar kenangan di sini boleh sunyi sepi apabila suasana menjadi lengang tiba-tiba, tanpa kehadiran pelancong atau sebarang aktiviti.

Foto: Bernama

Lokasi yang sentiasa meriah dengan hiruk-pikuk pelancong kini kelihatan kosong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan COVID-19, sejak 18 Mac lepas. Pantai Chenang boleh dijadikan gambaran terbaik kepada situasi dihadapi industri pelancongan Langkawi yang begitu terkesan susulan penularan wabak itu.

Wabak COVID-19 memberi impak besar kepada hampir semua penduduknya, bukan sahaja dari sektor pelancongan, malahan ekonomi. Langkawi sudah dikategorikan sebagai zon hijau kerana pesakit terakhir COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Maliha, tetapi sektor pelancongan masih tidak dapat bergerak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Industri pelancongan menyumbang 60 peratus kepada ekonomi pulau ini, jadi apabila kehadiran pelancong merudum dengan mendadak, situasi menjadi sangat mendesak.

Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi (LTGA) Ardi Bahador berkata 220 orang ahli persatuan yang berkhidmat sebagai ‘duta kecil pelancongan’ hilang punca pendapatan, dan kini buntu memikirkan masa depan mereka. Rata-rata ahli persatuan merupakan pemandu pelancong sepenuh masa, pemandu pelancong bebas, dan juga bergaji harian. Ini bermakna sumber pendapatan mereka bergantung kepada kehadiran pelancong. Situasi sekarang benar-benar memberi tekanan, ada ahli persatuan cuba untuk mencari pendapatan sampingan seperti menjadi pemandu e-hailing, dan ada yang membuat jualan dalam talian, tetapi masih tidak dapat menampung kehidupan yang semakin mencabar.

Namun ahli persatuan bersyukur kerajaan ada memberi bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu pelancong yang berdaftar kerana impak wabak COVID-19 kepada industri pelancongan, dan berharap ada bantuan lain serta sesuai masih boleh disalurkan.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna