Percutian yang paling menyeronokkan adalah bersama keluarga. Namun kebanyakan ibu bapa tidak membuat persediaan terperinci jika berlibur bersama anak-anak. Kerenah si anak kecil akan mengganggu perjalanan cuti anda.
sudahnya, semua orang hilang ‘mood’. Jangan jadikan hal ini masalah besar. Entri kali ini memberi tip percutian bersama anak-anak anda. Semoga ia membantu!
BAWA BEKAL
Bawa bekal makanan dan minuman. Ketika bercuti, anak-anak biasanya mudah berasa lapar. Bagi mengelakkan mereka ‘meragam’, eloklah anda bawa bekal. Buah-buahan, biskut, kerepek, dan roti adalah antara makanan paling mudah untuk dibawa.
Jika perjalanan jauh, anda boleh bawa bekal sendiri kerana dikhuatiri anak-anak berasa lapar di dalam kereta. Makanan berat seperti nasi goreng atau mi dan mihun goreng boleh dibawa.
TANDA PENGENALAN
Apa yang boleh anda buat adalah melabel ‘back pack’ anak anda. Letakkan nama anda, nama anak serta nombor telefon untuk dihubungi. Pentingnya label ini adalah sekiranya anak-anak terlepas daripada pengawasan anda.
BERSIAP SEDIA
Jangan lupa untuk bawa kelengkapan lain seperti tuala kecil, barang mandian, dan baju gantian untuk anak anda. Anak-anak banyak ragamnya, ada masanya baju kotor. Jadi bawalah baju ganti supaya anak anda dalam keadaan selesa setiap masa.
Jangan lupa untuk membawa baju renang dan krim pelindung matahari sekiranya anda bercuti di pantai. Sudah menjadi adatnya, anak-anak akan tertarik untuk mandi laut atau berenang di kolam. Jadi anda harus bersedia dari awal.
UBAT-UBATAN
Bawalah ubat-ubatan asas seperti minyak angin, paracetamol, ubat sakit perut, dam apa sahaja ubat yang mungkin diperlukan ketika bercuti. Cara ini memudahkan anda jika terjadinya kecemasan. Tidaklah anda kelam kabut mencari ubat bila diperlukan.
Ads
RANCANGAN LIBUR
Bila bercuti dengan anak-anak kecil, anda harus ada perancangan. Jangan main terjah sahaja. ‘mood’ anak-anak perlu dijaga. Bagi menjamin kualiti percutian anda sekeluarga, buatlah jadual percutian anda. rancang dengan teliti mana destinasi yang mahu dikunjungi serta apa aktiviti yang boleh dibuat. Dengan cara ini, anak-anak tidak akan merasa bosan.
Pastikan anda merangkan pelan yang melibatkan mereka juga. Jangan sesekali emmentingkan diri dan hanya merancang percutian buat anda dan pasangan sahaja. Tujuan percutian bersama keluarga adalah untuk menikmatinya bersama-sama, bukan hanya anda yang berseronok.
BAWA ‘TOYS’ DAN BUKU
Jangan lupa bawa buku atau permainan anak-anak anda. Terutamanya jika mereka masih kecil. Cara begini dapat mengelakkan mereka daripada merasa bosan terutamanya ketika di dalam perjalanan untuk ke sesuatu tempat. Selain itu, membawa buku dan permainan mereka boleh menjadi ktiviti alternatif sekiranya berlaku sebarang situasi yang tidak diingini seperti hujan dan sebagainya.
‘Follow’ media sosial kami di :
Facebook : www.facebook.com/majalah.libur
Instagram : @majalahlibur
Twitter : @MajalahLibur
Youtube : Majalah Libur
Setiap orang pasti pernah dengar tentang Great Wall of China atau Tembok Besar China dan pernah berangan-angan untuk menjejakkan kaki walaupun sekali di salah satu daripada tujuh keajaiban dunia tu.
Ini kerana tembok besar yang menjadi salah satu keajaiban dunia itu menyajikan pemandangan yang cukup mempersonakan untuk tatapan mata setiap pengunjung yang datang dan tembok besar sepanjang 21,196 kilometer akan memberikan 1,001 pengalaman berharga untuk anda.
Tapi selain daripada Tembok Besar China, ada beberapa lagi tarikan yang terbaik di sana untuk anda pergi. Di Beijing misalnya, ada banyak istana bersejarah zaman dinasti maharaja mereka yang terdahulu untuk anda teroka.
Selain daripada itu, taman-taman awam seperti tasik-tasik yang cantik, tempat membeli-belah (China memang terkenal dengan tempat membeli-belah yang super murah!) masjid-masjid masyarakat muslim dan sebagainya.
Jadi di sini disenaraikan kepada anda beberapa tarikan yang terbaik untuk anda lawati sekiranya melancong ke China satu hari nanti. Tarikan yang dicadangkan ini bersesuaian dengan anda yang mengembara secara FIT atau Free and Independence Traveller dan tidak menggunakan ejen pelancongan.
Tian An Men Square
Jika anda seorang yang suka pada sejarah, maka Tian’anmen Square adalah yang kedua selepas Forbidden City. Pada tahun 1989 demonstrasi yang sangat besar diadakan di sana dan kerajaan ketika itu mengambil langkah menggunakan tentera membunuh hampir beratus pemberontak China.
Jumlah kematian ketika itu dianggarkan hampir mencecah ribuan rakyat China. Tian’anmen Square menjadi simbol yang sangat kuat kepada keberanian para pemberontak melawan kerajaan ketika itu.
Di sekitar Tian’anmen Square terletaknya Great Hall of the People, Monument to the People’s Heroes dan Chairman Mao’s Mausoleum. Setiap hari pada waktu pagi akan dinaikkan bendera dan pada waktu senja akan diturunkan bendera kebangsaan China.
Tiada bayaran dikenakan untuk ke Tian’anmen Square namun anda perlu melalui sekuriti yang akan memeriksa barangan anda sebelum masuk ke sana.
Forbidden City
Forbidden City atau Kota Larangan dalam istilah Bahasa Malaysia merupakan lokasi paling jelas mengenai sejarah China dan Maharaja China satu masa dahulu.
Kota ini dibina pada tahun 1402 dan kota ini mempunyai keseluruhan sebanyak 9,000 bilik. Forbidden City mempunyai keluasan 250 ekar. Ia pernah dibakar kemudian dibaiki dan dibaikpulih semula dan dijadikan bangunan sejarah tarikan utama pelancong di Beijing, China.
Senibina Forbidden City adalah senibina semasa Dinasti Qing pada abad ke 18. Jika anda mahu berjalan ke seluruh kawasan, anda perlukan stamina yang tinggi dan kasut yang selesa untuk berjalan sebab perjalanan dalam ni memang jauh dan memenatkan tapi menarik.
Bagaimana mahu ke Forbidden City?
Forbidden City boleh diakses dengan bas atau subway. Tiket masuk ke dalam Forbidden City adalah sebanyak 60 yuan. Forbidden City dibuka pada pukul 8:30 pagi hingga 5:00 petang. Lebih baik datang melawat ke sini pada waktu siang untuk mengambil gambar dengan lighting yang lebih cantik.
Great Wall Of China
Jika ke Beijing, tidak sah sekiranya anda tidak ke Tembok Besar Beijing ini! Tembok Besar sepanjang 21,196 kilometer mempunyai 8 seksyen yang kukuh seperti :
Badaling
Juyongguan
Huanghuacheng
Jiankou
Mutianyu
Gubeikou
Jinshanling
Simatai
Tiap seksyen great wall mempunyai caj yang berbeza. Great Wall yang mudah untuk anda pergi adalah Badaling. Pastikan anda berkasut yang selesa, berkaca mata hitam dan air yang mencukupi. Serius kami katakan, naik tangga Great Wall sangat penat dan mudah semput tapi anda akan rasa sangat berpuas hati bila sampai ke puncak.
Summer Palace
Taman dan istana musim panas ini adalah tempat maharaja dan orang kuat kerajaan beristirehat. Taman ini mempunyai keluasan sebesar 290 ekar. Di sini anda boleh tengok beberapa kuil, istana dan pemandangan yang cantik (jika udara bersih).
Tiket masuk adalah sebanyar 40 yuan pada waktu biasa dan 50 yuan pada waktu peak. Tempat ini menarik jika anda datang pada musim sejuk kerana tasik di sini akan beku dan anda berpeluang untuk main ski atas tasik itu.
Temple Of Heaven
Temple of Heaven adalah salah satu tarikan yang sangat menarik. Ia merupakan lokasi paling suci untuk hampir 5 abad. Ia merupakan lokasi di mana pengorbanan dilaksanakan dan digunakan oleh maharaja dinasti Ming dan Qing.
Jika anda ke sana pagi dan petang, anda boleh melihat jumlah orang yang ramai sedang bersenam, sedang melakukan taichi dan sebagainya.
Tiket masuk adalah sebanyak 35 yuan. So tidaklah mahal sangat untuk ke sana.
Beijing Olympic Stadium
Pada tahun 2008 diadakan temasya sukan paling berprestij di dunia iaitu Sukan Olimpik di Beijing. Kerajaan Beijing telah membina Olympic Village.
Di situ terdapat Bird Nest Stadium dan Water Cube yang rekaannya sangat cantik!
798 Art Zone
798 Art Zone merupakan zon seni yang sangat unik. Daripada patung yang pelik, gerabak kereta api lama sehinggalah grafiti dinding yang kreatif.
Ia sebenarnya merupakan kilang ketenteraan lama kemudiannya dijadikan sebagai zon kesenian. Tiada tiket masuk dikenakan.
Pertunjukan Acrobatik China
Pertunjukan akrobatik ini di persembahkan oleh kumpulan Chaoyang Acrobats. Untuk pengetahuan anda, seni akrobatik di China ini diwarisi daripada generasi ke generasi lebih dari ribuan tahun.
Penari akrobatik memulakan latihan mereka dari usia yang sangat muda melalui sistem mentor-mentee. Mereka bekerja dengan tekun selama bertahun-tahun untuk sampai ke tahap di mana mereka boleh melakukan aksi yang sungguh mengagumkan. Ia sesuatu yang cukup menarik untuk menyaksikan persembahan mereka.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Pekan, merupakan daerah yang tidak asing lagi buat negeri Pahang. Pekan, Bandar Diraja punya keunikan dan tarikan tersendiri yang boleh diteroka.
Nama Pekan diambil dari sejenis bunga yang banyak tumbuh di tebing-tebing sungai Pahang.Bunganya berwarna putih seperti bunga Melor, namun bakanya kini sudah tiada lagi untuk dikenalkan kepada generasi sekarang dan akan datang. Di Bandar Pekan juga terdapat sebatang sungai yang digelar Sungai Pekan (berhampiran Kampung Mengkasar) tetapi tiada bukti yang menyatakan Pekan mendapat nama dari sungai ini.
Pekan terletak 44 kilometer dari bandar Kuantan dan mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan dan terletaknya Istana Sultan Pahang serta kerabat Di Raja negeri ini. Pekan nyata destinasi percutian yang bukan saja menawarkan pelbagai tarikan menarik tetapi punya destinasi pelbagai menjadi tumpuan ramai.
Memancing Udang Galah & Ikan Sungai
Sungai Pahang sememangnya kaya dengan hasil terutama udang galah serta pelbagai ikan sungai. Mengikuti aktiviti menyusur sungai Pahang ini juga membawa pengunjung melihat sendiri perkampungan Kemboja yang menghuni pesisir sungai selain aktiviti harian mereka yang mengusahakan ikan sangkar.
Meaw Island
Bagi peminat kucing, jangan lepaskan peluang menyusuri Sungai dengan menggunakan kemudahan River Cruise ke Pulau Kucing atau Meaw Island. Berada di pulau ini bagai memberi satu kedamaian. Kucing-kucing terbiar yang dihantar ke pulau itu hidup bebas di kawasan yang dibangun begitu cantik. Di sini, tersedia tempat khusus buat pengunjung yang datang untuk bermesra dan melayan kerenah kucing-kucing yang ada serta pelbagai aktiviti lain termasuk meredah hutan.
Pekan Riverfront
Pekan Riverfront dahulunya hanya pulau kecil namun kini menjadi tumpuan bukan saja penduduk tetapi penganjur yang ingin mengadakan pelbagai acara selepas dibangunkan kembali. Ia kini menjadi lokasi beriadah seisi keluarga dan lokasi bersantai bersama rakan sambil menikmati pemandangan indah.
Pantai Air Leleh
Pantai Air Leleh merupakan lokasi dicadangkan jika ingin melihat anorama indah matahari terbenam, nyata memberikan penutup hari yang mendamaikan. Jangan lepaskan peluang untuk merakam foto indah sambil duduk di atas buaian ‘besar’ yang disediakan.
Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi
Pekan sememangnya terkenal dengan hasil tenun yang bukan saja halus pembuatannya tetapi juga menawarkan pelbagai jenis corak dan fabrik yang menarik. Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi yang merangkumi Pusat Tenunan Sutera Pahang adalah destinasi utama bagi pengunjung yang ingin melihat sendiri bagaimana kain tenun dihasilkan dari awal hingga siap. Hasilnya yang cantik itu boleh dibeli secara terus atau membuat tempahan terlebih dahulu dengan memilih pelbagai jenis corak kain yang disediakan.
Muzium Sultan Abu Bakar
Bagi yang meminati sejarah Pahang, Muzium Sultan Abu Bakar pastinya tidak mengecewakan dengan pelbagai galeri artifak, seramik, arkeologi dan kesenian. Mengunjungi Galeri Tun Teja di Muzium Sultan Abu Bakar juga nyata tidak mengecewakan terutama anda yang mencintai hasil kraf yang unik dan halus pembuatannya. Di dalam galeri ini dipamerkan rekaan baju diperbuat daripada kain tenun dan direka oleh pereka terkemuka negara. Sesuatu yang menarik perhatian di galeri ini bukan saja rekaan atau perincian setiap baju tetapi kain tenun yang digunakan. Pelbagai warna, rekaan dan corak yang sememangnya cukup mengujakan.
Muzium Masjid Sultan Abdullah
Bandar Diraja ini juga terkenal dengan tinggalan sejarahnya terutama bangunan lama seperti Muzium Masjid Sultan Abdullah. Muzium ini juga terkenal dengan gelaran ‘Taj Mahal’ Pekan dek warnanya putih, struktur binaannya yang unik dan kolam air di pekarangan masjid membuatkan ia kelihatan seperti klon kepada salah satu keajaiban dunia, Taj Mahal. Turut dikenali sebagai Masjid Putih, masjid ketiga terawal di bandar Pekan ini dibina dengan reka bentuk ‘Moorish’ dan berkonsepkan muzium dalam taman. Muzium ini mengandungi pelbagai komponen seperti ruang pameran, ruang solat, ruang diskusi dan ilmiah dengan mengetengahkan tiga segmen utama iaitu Sumbangan Islam dalam Tamadun Dunia, Islam di Pahang dan Koleksi Diraja.
Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak
Rumah Kelahiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak juga tidak harus lupa untuk dikunjungi. Terletak di Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi, rumah ini adalah rumah yang dibina semula mengikut reka bentuk asalnya oleh tukang yang mahir.
Pekan Sehari, Pekan
Ingin mencari juadan tempatan? Pekan Sehari terletak di pinggir Sungai Pahang dekat Kuala Semantan punya tarikan tersendiri terutama makanan tradisionalnya iaitu kuih Qasidah, Suji, Apam Baghdad, lemang periuk kera dan banyak lagi. Pilihan sayur kampung serta ikan sungai segar dan udang galah juga boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan.
Murtabak Mengkasar
Menjamu selera juga adalah daya tarikan sesebuah destinasi percutian dan Pekan juga tidak kurang hebatnya. Apa kata cuba kelazatan Murtabak Makassar yang punya keenakan tersendiri dan lebih tebal berbanding murtabak biasa kerana memiliki tiga lapisan tebal berinti daging dengan 21 jenis rempah-ratus berkualiti dan dimasak garing. Bagi yang sukakan keju, murtabak Mengkasar special memberikan anda rasa keju yang enak dan tidak memuakkan sekali gus membuatkan anda makan sehingga menjilat jari.
Makan Malam Ikan Bakar Segar
Pada malam hari, disekitar Pekan, banyak premis makanan menawarkan sajian makanan laut segar. Jangan lupa untuk singgah dan penuhkan perut anda dengan sajian yang lazat.
Negeri Pahang Darul Makmur cukup terkenal dengan kekayaan hasil buminya yang melimpah ruah, jadi di entri ini Libur nak kongsikan beberapa lokasi yang menarik untuk anda plan DIY trip ke negeri Pahang Darul Makmur.
Ada beberapa lagi lokasi yang menarik yang akan Libur kongsikan di artikel yang seterusnya. Stay tuned!
Rumah Terbalik Bantong atau Bentong Upside Down House
Bangunan rumah kedai tiga tingkat ini dibahagikan kepada tiga tema untuk setiap tingkat, iaitu tema 70’an untuk tingkat satu, tema moden untuk tingkat dua dan tema kekeluargaan di tingkat tiga.
Apa yang membuatkan rumah terbalik 3 tingkat ini begitu istimewa? Segala perabot dan kekemasan dalaman disusun 180 atau 90 darjah terbalik. Lantai rumah kampung tradisional ini diperbuat daripada kayu dan diserikan lagi bersama beberapa barangan antik untuk tatapan pengunjung yang datang.
Beberapa permainan kanak-kanak tradisional Malaysia juga dipamerkan. Apa yang lebih menarik adalah bar JG Snack yang menyajikan beberapa kegemaran snek kanak-kanak pada tahun 1980an & 1990an seperti ais kepal, aiskrim Malaysia, Milo Dinosaur, air cincau dan ABC.
Caj yang dikenakan juga berpatutan, iaitu RM20.00 bagi dewasa, RM15.00 bagi pelajar beruniform dan RM12.00 bagi kanak-kanak dan warga emas. Terdapat juga pakej keluarga yang bernilai RM53.00 bagi dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak. Kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah di beri masuk secara percuma. Manakala bagi yang datang secara berkumpulan lebih dari sepuluh orang, di beri satu tiket percuma. Waktu operasi adalah dari jam 10.00 pagi hingga jam 7.00 petang.
Cameron Highlands
Terdapat banyak perkara untuk dilihat dan boleh dilakukan di Cameron Highlands, seperti menginap di resort dataran tinggi terbesar di Malaysia, berjalan melalui kampung-kampung kecil yang indah, melawat ke taman rama-rama, kebun strawberry, ladang madu lebah dan ladang teh atau ke tempat-tempat makan yang best di di kawasan tanah tinggi di negara ini.
Itu adalah aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan santai yang boleh dialami di sini. Anda pasti teruja dengan cuaca yang ada di Cameron Highlands. Beberapa hari keluar dari kawasan panas di tanah rendah pasti mengecas semula ‘bateri’ tenaga anda.
Satu lagi aktiviti popular di Cameron Highlands yang kini menjadi tradisi, adalah menikmati hidangan teh dan juga scone. Tradisi Inggeris ini bermula pada zaman ketika pegawai kolonial Inggeris menggunakan lokasi tanah tinggi ini sebagai percutian yang sejuk. Selain daripada itu, melihat dan mengamati burung juga merupakan aktiviti yang popular di sini.
Bukit Fraser
Terletak di tengah-tengah hutan hujan negeri Pahang ini pekan kecil yang dipanggil sebagia Bukit Fraser. Di ketinggian 1,524 meter di atas paras laut, resort tanah tinggi ini adalah syurga alam semula jadi yang mempunyai banyak tumbuh-tumbuhan, spesies burung dan juga haiwan.
Tempat ini popular untuk mereka yang berminat dengan aktiviti alam semulajadi seperti trekking, melihat burung, menunggang kuda, memancing dan berkhemah.
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang ini merupakan peluang yang jarang dan hebat untuk anda bagi mendekati spesis gajah Malaysia yang unik.
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah di Pahang akan memberi anda peluang yang jarang didapati di tempat lain untuk belajar tentang gergasi hutan ini.
Dapatkan peluang untuk berjalan bersama gajah melalui kawasan hutan dengan bantuan panduan gajah atau mahout.
Bagi yang berani dengan cabaran, ada peluang untuk mengambil gajah ke sungai dan membantu gajah-gajah ini mandi! Tidak ada peluang yang lebih baik daripada ini untuk berhubung dengan ‘abang long’ belantara melainkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah ini.
Dianggarkan terdapat hanya 1,200 Gajah Asia liar, yang juga dikenali sebagai Elephus Maximus, berada di Malaysia dan pusat ini adalah satu-satunya pusat pemuliharaan yang ditubuhkan untuk melindungi habitat yang terancam ini.
Gajah-gajah di sini telah diselamatkan dari seluruh Semenanjung Malaysia, dan pusat iin memberikan mereka tempat perlindungan yang selamat daripada ancaman pemburu haram.
Gua Merapoh
Negeri Pahang sememangnya terkenal dengan kekayaan alam semula jadinya. Selain mempunyai Taman Negara yang terkenal di dunia, Pahang juga terdapat pelbagai jenis gua bertaraf dunia yang boleh diterokai oleh peminat gua. Ada di antara gua-gua yang hebat ini boleh didapati di sebuah bandar kecil bernama Merapoh.
Gua Merapoh memiliki sejumlah 85 gua yang boleh diterokai dan dipercayai berusia lebih dari 130 juta tahun. Jadi, tidak hairanlah Merapoh, yang terletak di daerah Lipis, Pahang dianggap sebagai syurga bagi peneroka gua. Terdapat beberapa gua bertaraf dunia di Merapoh. Ada yang mempunyai bilik besar, dipenuhi dengan formasi yang unik atau mempunyai geologi yang menarik, dan yang lebih mengagumkan adalah ada gua yang tersembunyi kolam air jernih yang menampung pelbagai spesies fauna.
Secara umum, gua-gua di Merapoh boleh dikategorikan sebagai gua persembahan, gua pengembaraan dan gua arkeologi. Sebagai contoh, Gua Hari Malaysia mempunyai sungai sepanjang satu kilometer yang mengalir melaluinya, membentuk air terjun dan kolam renang. Ini adalah jenis gua yang baik untuk memanjat, merangkak, berenang, menyeberang, manakala Gua Seribu Cerita mempunyai banyak lukisan gua untuk diterokai dan dilihat. Gua Tahi Bintang, yang namanya berasal dari satu dinding yang penuh dengan pembentukan berbintang yang menyerupai tahi bintang, juga mempunyai beberapa lukisan gua. Lukisan-lukisan itu dipercayai ditarik dengan karangan antara 100 dan 200 tahun yang lalu.
Kaya dengan kepelbagaian biologi, pelbagai spesies flora dan fauna yang jarang ditemui oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa di beberapa gua di Merapoh, gua-gua di sini sangat sesuai untuk diterokai.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!