Semporna yang terkenal dengan khazanah marin serta pulau peranginan antarabangsa menawarkan pelbagai pakej percutian bajet dan menarik untuk pelancong dalam negara berkunjung ke daerah di Sabah ini.
Kebanyakan pengusaha resort di sini menyediakan tawaran yang sukar ditolak khususnya buat penyelam dan pencinta hidupan marin bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi dan pelancongan setelah ditutup beberapa bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Semporna sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong pascapandemik COVID-19. Keyakinan itu bersandarkan kepada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek kesihatan, keselamatan, kawalan dan persekitaran ketat yang dilakukan oleh pihak pengurusan selaras dengan arahan kerajaan.
Selain aktiviti skuba, pelancong juga boleh melakukan snorkeling atau island hoping ke Taman Marin Tun Sakaran yang meliputi Pulau Bohey Dulang, Pulau Mantabuan dan Pulau Sibuan. Mabul, Kapalai dan Sipadan merupakan pulau saling berdekatan dan menyajikan pemandangan indah hidupan marin buat pencinta alam bawah laut. Tawaran pakej pelancongan itu diharap dapat menarik lebih ramai pelancong domestik mengambil peluang bercuti ke Semporna sekali gus menyahut saranan kerajaan agar rakyat Malaysia melancong di dalam negara melalui kempen ‘Travel Domestic’. Jangan lepaskan peluang ya!
Sumber: Bernama