Satu kawasan sejarah yang sangat luas lengkap dengan penemuan senjata berusia 10,000 tahun ditemui oleh pasukan penyelidik di Pulau Kotelny, Siberia. Kawasan purba ini kemungkinan dahulunya adalah sebuah ‘kilang memproses’ yang digunakan bagi menghasilkan senjata seperti lembing dan pisau daripada gading gajah mamot.
Menurut ahli-ahli paleontologi, kilang purba itu ditemui bersebelahan bangkai seekor mamot dalam keadaan beku di Pulau Kotelny.
Pakar mamot dari Akademi Sains Yakutia yang memeriksa kilang senjata tersebut memberitahu media tempatan terdapat kesan pertukangan pada gading serta tulang rusuk bangkai gajah berkenaan, menandakan ia diburu oleh manusia.
Kesan daripada proses itu, mungkin dilakukan oleh lelaki purba, berdasarkan apa yang ditemui pada cebisan gading gajah yang dijumpai.
Gading yang diukir itu mempunyai bahagian tajam yang sesuai digunakan untuk memotong daging serta dibuat senjata untuk membunuh. Terdapat contoh penggunaan gading yang dijadikan lembing di beberapa lokasi lain di Siberia.
Keadaan gading itu jelas menunjukkan manusia memotongnya dan menjadikan ia sebagai senjata.
Kajian lanjut akan dilakukan untuk mengetahui sama ada haiwan tersebut diburu menggunakan lembing yang dibuat daripada gading haiwan itu sendiri atau gajah lain.
Kumpulan pakar ini akan menentukan usia gading gajah tersebut menggunakan teknik radio karbon tetapi buat masa ini, kita boleh katakan usianya tidak kurang dari 10,000 tahun.