Pahang Haramkan Terus Guna Beg Plastik, Straw Minuman & Bekas Polisterin

Share

Satu per satu negeri di Malaysia telah mula ada kesedaran untuk bersama-sama dalam menangani isu alam sekitar. Kini giliran negeri Pahang pula mengeluarkan arahan melarang penggunaan beg plastik, bekas polistirena dan straw minuman di semua premis perniagaan seluruh negeri ini pada setiap Sabtu dan Ahad mulai 1 Julai ini.

Malah arahan tersebut bukan sekadar melarang sahaja tetapi terus mengharamkan penggunaan produk plastik pada setiap Sabtu dan Ahad. Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut sebagai merealisasikan hasrat menjadikan Pahang bebas pencemaran plastik dan ke arah mewujudkan peniaga serta pengguna yang lebih bertanggungjawab.

“Tiada beg plastik dan penyedut minuman akan disediakan peruncit tanpa mengira saiz perniagaan kepada pengguna bagi pembelian Sabtu dan Ahad. Pengguna boleh membawa beg dan penyedut minuman sendiri sebaik sahaja keluar rumah. Caj 20 sen terhadap beg plastik dikenakan kepada pengguna pada hari Sabtu sebelum ini tidak memberi kesan positif,” katanya.

Buat masa sekarang tiada tindakan undang-undang akan dikenakan kepada peniaga mahupun pengguna sekiranya ingkar terhadap ketetapan tersebut. Tujuan ini lebih kepada untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Tetapi jika tidak berkesan, tindakan kompaun mungkin akan dikenakan.

Sumber: Sinar Harian

Oleh
Husna