Orang Sampai Bergaduh-Gaduh Sebab Perak Dan Johor Dapat Beraya Sehari Awal Tahun 1983, Lucu!

Share

Orang-orang lama mesti ingat peristiwa yang pernah berlaku di ambang malam Aidilfitri tahun 1983. Peristiwa yang berlaku ni sampai bila-bila pun tidak akan berlaku lagi dan kepada anda yang sempat mengalami peristiwa tersebut, sesungguhnya anda adalah orang yang sangat beruntung.

Peristiwa yang Libur maksudkan adalah kejadian di mana negeri Perak dan Johor sambut Hari Raya Aidilfitri awal sehari daripada negeri-negeri lain di Malaysia. Seronokkan? Waktu orang lain masih lagi dalam suasana berpuasa, kita di Perak dan Johor sedang sibuk untuk menyediakan juadah dan persiapan menyambut Syawal esok hari.

Macam mana boleh berlaku kejadian sebegini di negeri Perak dan Johor? Mari kita imbau sejenak kejadian yang berlaku pada tahun 1983 itu.

Kejadian Perak beraya awal itu berlaku semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Idris Shah apabila ada beberapa kumpulan nelayan yang pulang dari laut mengatakan mereka telah ternampak anak bulan. Berita yang dibawa oleh kumpulan nelayan itu tadi telah tersebar luas ke seluruh negeri dan desas-desus mengatakan bahawa pihak marin yang bertugas di laut ketika itu turut mengakui akan kesahihan berita berkenaan.

Dek kerana waktu itu penyebaran berita dari mulut ke mulut juga sepantas penyebaran berita di media sosial seperti zaman sekarang, maka berita anak bulan telah kelihatan berkenaan juga telah sampai ke pengetahuan mufti dan telah memaklumkan kepada Tuanku Sultan dengan kadar segera kerana Tuanku Sultan mempunyai kuasa penuh untuk mengisytiharkan hari raya di tanah jajahan Tuanku.

Sebaik sahaja berita berkenaan sampai ke pengetahuan Tuanku Sultan, baginda terus sahaja menitahkan agar semua jentera kerajaan negeri memaklumkan kepada rakyat jelata perkara berkenaan dan di sinilah terjadinya Perak dan Johor menyambut 1 Syawal awal sehari berbanding negeri-negeri lain di Malaysia ketika itu.

Maka, kecohlah seluruh alam yang berada di negeri Perak dan Johor pada waktu itu apabila Jabatan Penerangan dan polis menggunakan pembesar suara untuk mengumumkan hari raya di bandar dan juga desa. Ada perkongsian daripada pembaca-pembaca di laman sosial yang hidup dan pernah melalui peristiwa tersebut mengatakan bahawa mereka yang berada di Perak terkejut dengan pengumuman tersebut. Ada beberapa tempat yang menerima pengumuman di tengah malam dan awal pagi. Nak dijadikan cerita, sepantas kilat mereka bangkit dari katil dan terus membuat persiapan menyambut Aidilfitri menjelang pagi nanti.

Bukan setakat terkejut untuk membuat persiapan hari raya, ada beberapa tempat yang ‘bergaduh’ dek kerana peristiwa Perak dan Johor beraya sehari awal. Maklumlah, ada negeri yang masih berpuasa manakala Perak dan Johor sudah pun menyambut 1 Syawal. Tempat-tempat di kawasan sempadan antara negeri-negeri tersebut sudah tentu mengalami perbalahan antara mereka.

Tidak kurang juga yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman berasa aneh apabila ada beberapa tempat yang dilalui sebelumnya sedang berpuasa tetapi sebaik sahaja tiba di Perak atau Johor, orang ramai memenuhi warung sambil makan dan menghisap rokok.

Terasa lucu apabila membaca pengalaman yang dilalui oleh mereka yang hidup di waktu itu. Mesti setiap kejadian yang terpahat di dalam memori akan membuatkan mereka tersenyum sendirian apabila dikenang kembali.

Untuk pengetahuan anak-anak millennial yang tidak pernah tunggu pengumuman raya kaca tv atau corong radio, dahulu orang ramai akan ternanti-nanti pengumuman yang akan dibacakan oleh Penyimpan Cop Mohor Raja-Raja. Oleh yang demikian, seluruh sanak saudara akan memenuhi ruang utama di kampung halaman untuk sama-sama mendengar pengumuman tersebut. Meriah waktu itu!

Kini, setelah berpuluh tahun berlalu, penentuan bulan puasa dan raya sudah tidak menjadi perkara pokok lagi kerana ia sudah sudah bertahun-tahun selari dan ada dicatatkan dengan kalendar dengan kiraan yang betul. Sejak dari itu, sambutan perayaan aidilfitri tidak pernah lewat dan tidak pernah awal lagi.

Sumber: Orang Perak & Silver Retro

Oleh
Epul