Berita

Kajian: Orang Asia Lebih Suka Bercuti Dengan Keluarga

Share

Hasil daripada kajian ‘Kepentingan Perjalanan Keluarga’ pada tahun 2017, mendapati remaja Malaysia merupakan yang kedua tertinggi (78 peratus) seronok bercuti bersama keluarga.

Kajian dilakukan Northstar, sebuah firma penyelidikan strategik global, bagi pihak Expedia.com® terhadap ibu bapa, remaja dan golongan dewasa tanpa kanak-kanak dari 28 buah negara di seluruh Amerika Utara, Eropah, Amerika Selatan dan Asia Pasifik.

Orang Asia Lebih Menghargai Ikatan Kekeluargaan

Hampir satu pertiga daripada ibu bapa yang terlibat dalam kajian ini lebih suka mengembara tanpa anak-anak mereka. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa Asia paling kurang meninggalkan anak-anak mereka untuk bercuti, berbanding dengan rakan-rakan Barat mereka:

• Ibu bapa Thai (hanya 6 peratus)
• Ibu bapa Korea Selatan (8 peratus)
• Ibu bapa Malaysia (hampir 20 peratus)
• Finland (82 peratus)
• Mexico (64 peratus)
• Sepanyol (56 peratus)

Pengurus Besar Expedia Asia Tenggara dan India, Simon Fiquet berkata, “Kami mempunyai beberapa pandangan yang baik tentang cara orang mengembara, terutamanya keluarga di Asia. Majoriti (hampir 80 peratus) ibu bapa dari Malaysia tidak meninggalkan anak-anak mereka kerana merasakan bahawa percutian bersama keluarga lebih bermakna. Hal ini lebih biasa di kalangan budaya Asia. Memandangkan ibu bapa Malaysia jarang keluar bercuti, mereka memberi penekanan untuk percutian sekeluarga dan sangat menghargai memori perjalanan tersebut.”

Berdasarkan kajian Deprivasi Percutian Expedia 2016, rakyat Malaysia merupakan yang ketiga paling kurang bercuti secara global, di mana hanya menggunakan 25% daripada cuti yang diperuntukkan kepada mereka setahun. Oleh itu, peluang singkat yang diperolehi diaplikasi untuk merapatkan hubungan dengan keluarga mereka.

“Rakyat Malaysia juga terkenal dengan perjalanan harian atau “day trips” dan 88 peratus ibu bapa melakukan kajian sebelum mengembara. Mereka harus memberi pertimbangan bagi pengembaraan makanan atau mengembara bersama anak-anak remaja yang mahu tempat-tempat unik di Malaysia serta sesuai dikongsikan dalam laman Instagram,” katanya lagi. Kebanyakan tempat yang sesuai dan menarik di Malaysia bagi tujuan ini adalah seperti Jambatan Gantung Langkawi; Puncak di Taman Negara Mulu; dan Ladang Teh di Cameron Highlands.

Bagi mereka yang tidak membawa anak-anak bersama, majoriti ibu bapa Malaysia bercuti bagi merapatkan lagi hubungan sesama pasangan mereka. 61 peratus ibu bapa dari Singapura juga bersependapat dan melakukanya percutian sebegitu. Sebab-sebab utama lain yang dikongsi bagi tujuan percutian tanpa anak-anak termasuklah mengelakkan anak-anak ponteng sekolah (37 peratus).

Sebaliknya, hampir separuh (47 peratus) daripada ibu bapa dari Hong Kong secara terbuka mengaku mereka tidak seronok bercuti bersama anak-anak mereka, dengan 78 peratus berasa mereka lebih seronok bercuti sebelum anak-anak mereka ikut bersama.

 

 

 

 

Oleh
Mohd Zulfadli Ahmad Mazaki