Bila sebut Pulau Pinang, kita pasti terkenangkan makanan enak dari negeri tersebut. Terkenal sebagai lokasi pelancongan bagi warga tempatan dan pelancong luar negara, siapa dapat melupakan keenakan nasi kandarnya. Itu belum lagi asam laksa serta makanan lain. Ada banyak lokasi percutian seperti pantai Batu Feringgi, menaiki keretapi ke puncak Bukit Bendera selain melintas jambatan Pulau Pinang yang menjadi daya tarikan pelancongan negeri tersebut.
Sebagai tempat tumpuan pelancong dan musim cuti sekolah, pasti kita pernah merasai pengalaman menunggu berjam-jam untuk menaiki tren sebelum sampai ke puncak Bukit Bendera. Dengan ketinggian 830 meter dari paras laut, Bukit Bendera ini telah dibangunkan oleh Francis Light.
Di sebalik menyaksikan panorama alam semulajadi dari puncak, bila di sini, datanglah menikmati secawan kopi enak di Kopi Hutan, café tertinggi di Pulau Pinang.
Ia antara tarikan baru yang amat unik di Bukit Bendera. Terletak kira kira 730m di atas aras laut dan jauh dari kesibukan bandar, kafe ini sesuai untuk mereka yang ingin menikmati secawan kopi sambil ditemani kicauan burung, pemandangan hutan hujan yang berusia 130 juta tahun dan cuaca yang nyaman.
Tapi awas, walau ramai sudah ke puncak Bukit Bendera ini masih ada yang terkeliru di mana lokasi tepat Kopi Hutan ini.
Menurut fb Kopi Hutan, pengunjung yang ingin ke sini, perlu melalui perjalanan dua km lagi dari arah Western Hill (dari top station) sebelum sampai ke sini. Jadi bolehlah bergerak perlahan-lahan ya sambil menikmati flaura dan fauna sekelilingnya.
Sempena PKP ini, perkhidmatan tren funicular masih beroperasi dan sila lihat jadual disertakan di bawah ini. Bagi hikers, sila patuhi penjarakan fizikal sewaktu melepak sambil minum-minum di café ini.
Gambar : Fb Kopi Hutan