Taman tema air merupakan destinasi percutian pilihan ramai pelancong di dunia kerana keseronokkannya yang tiada limit. Namun begitu, tahap keselamatan pengunjung dan juga permainan yang ditawarkan di taman tema air seluruh dunia sering diperdebatkan kerana menjadi ‘pembunuh’ utama kegembiraan.
Baru-baru ini, seorang pelancong England bernama Jade Graves berusia 29 tahun putus salur darah di Taman Air Aqua Paradise di Nessebar, Bulgaria. Kejadian ngeri itu berlaku, setelah dia dikatakan terhempas kuat sewaktu menaiki gelongsor air ekstrem digelar Space Jam.
Gelongsor air yang berketinggian 22 meter dan kecerunan 90 darjah, telah meragut keseronokan yang dirasainya yang berakhir dengan sebuah tragedi. Jade merasakan kesakitan yang sangat perit di bahagian bawah pelvisnya selepas menuruni gelongsor air lalu memasuki ke dalam kolam tersebut dan terkejut apabila melihat darah mengalir di kakinya. Ketika terhempas, dia dikatakan kehilangan banyak darah dan memerlukan proses pemindahan darah dengan segera di sebuah hospital di Bulgaria.
Dia turut pitam akibat kehilangan darah yang banyak, dan menghabiskan empat hari di hospital. Lukanya telah dijahit selain terpaksa menjalani pemindahan darah serta pembedahan untuk merawat arteri terputus itu. Dia turut mendakwa dirinya menderita dengan pendarahan dalam arteri yang boleh membawa kepada berlakunya strok dan anemia sekunder.
Jade telah mengupah firma undang-undang untuk menyiasat kejadian itu agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Taman Air Aqua Paradise di Bulgaria kerana berdepan dengan trauma akibat tragedi tersebut.
“Ia adalah mimpi ngeri dan saya masih sangat sedih mengenainya. Saya masih belum pasti apa yang berlaku, kerana saya mengikut semua peraturan yang diberikan kepada saya. Saya sangat berharap siasatan boleh dijalankan dengan baik kerana saya tidak mahu orang lain senasib dengan apa yang perlu lalui,” kata Jade lagi.
Ekoran kejadian itu, orang ramai meminta agar lebih banyak kesedaran mengenai bahaya potensi slaid air ditekankan. Aqua Paradise merupakan taman tema air yang dikunjungi oleh beratus-ratus pelancong British setiap kali musim panas.
Sumber: Dailymail | Astroawani