New Zealand Bakal Perkenal Aiskrim Perisa Sos Tomato. Di Malaysia Lagi ‘Advance’ Dah Ada Aiskrim Perisa Nasi Lemak

Share

Aiskrim memang diketahui berperisa manis dan sedap yang menjadi kegilaan ramai. Namun, pada zaman sekarang pelbagai perisa aiskrim telah diperkenalkan untuk membuat pembaharuan untuk memeriahkan lagi industri pemakanan.

Jangan tidak percaya ada yang gemar melancong ke luar negara suka untuk mencuba pelbagai jenis aiskrim mengikut identiti sesebuah negara itu.

Seperti di New Zealand, sebuah syarikat pengeluar makanan terkenal, Wattie’s mengumumkan rancangan untuk menawarkan aiskrim berperisa sos tomato sekali gus mengundang pelbagai reaksi berbeza daripada pengguna media sosial. Sebilangan pengguna menyifatkan produk baharu itu sebagai suatu kombinasi dua makanan pelik sebagai menjijikkan.

Aiskrim berperisa tomato ini bukan yang pertama dihasilkan, pada tahun 2014, sebuah jenama aiskrim terkenal Häagen-Dazs, pernah mengeluarkan aiskrim berperisa tomata dan juga berperisa lobak merah.

Paparan yang dikongsi oleh Wattie’s di Facebook sudah menerima lebih 21,000 komen dengan perkongsian sebanyak 5,000 kali. Jurucakap syarikat itu, Ben Cochrane mengesahkan produk berkenaan akan dikeluarkan untuk dipasarkan sekali gus menidakkan tanggapan beberapa netizen bahawa ia sekadar gurauan.

Dia mengesahkan idea untuk mencipta aiskrim itu selepas menerima cadangan bahawa ada pelanggan gemar memakan aiskrim yang diletakkan sos tomato di atasnya. Mereka tidak pasti berapa ramai orang akan membelinya, namun mereka sedang melakukan, mencuba dan melihat sejauh mana sambutannya nanti.

Tapi rasanya kalau di Malaysia mesti tidak pelik dengar menu-menu pelik yang cuba dipromosikan. Bagi sajian aiskrim, telah wujud pelbagai perisa yang luar biasa, antaranya aiskrim berperisa Nasi Lemak.  Aiskrim ini adalah menu unik sebuah kedai aiskrim yang terletak di Alor Star, Skream Softserve. Bila makan rasa macam nasi lemak. Ada yang dah pernah cuba?

Sumber: Dailystar

Oleh
Husna