New Delhi, India mendominasi senarai bandar raya tercemar untuk tahun lepas (2018) dengan menduduki 22 daripada 30 kedudukan teratas, demikian menurut laporan Greenpeace.
Pencemaran udara dianggarkan menyumbang kepada 7 juta kematian awal pada setiap tahun dan dianggap sebagai risiko kesihatan alam sekitar tunggal terbesar oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. New Delhi sekali lagi dinamakan sebagai ibu negara yang mempunyai udara paling tercemar dan berada di tempat ke-10, jirannya, bandar Gurugram menduduki tempat pertama senarai tersebut. Bandar-bandar di China, Pakistan dan Bangladesh turut berada pada kelompok 30 teratas.
Senarai yang dikenali sebagai Laporan Kualiti Udara 2018 itu disusun oleh Greenpeace dan IQAir AirVisual dengan menggunakan data pencemaran udara dari beribu-ribu stesen pemantau milik awam serta persendirian di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk menyenaraikan lebih 3,000 bandar raya daripada paling kotor hinggalah yang paling bersih.
Di peringkat negara pula, Bangladesh muncul sebagai negara paling tercemar diikuti rapat oleh Pakistan dan India, manakala Afghanistan serta Mongolia turut berada di 10 tempat teratas. Selain kehilangan nyawa manusia, pencemaran ini menyumbang kepada kehilangan tenaga buruh global dianggarkan bernilai AS$225 bilion (RM920 bilion) dan kerugian beberapa trilion dolar akibat kos perubatan. Ia memberikan impak yang amat besar terhadap kesihatan dan kewangan.
Laporan itu turut memantau partikel pencemaran halus dikenali sebagai PM2.5 yang boleh menembusi salur udara dan menyebabkan masalah pernafasan. Daripada lebih 3,000 bandar raya yang dianalisis, 64 peratus didapati mencatatkan kadar PM2.5 melebihi daripada garis panduan pendedahan tahunan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Sumber: Kosmo