Nampak Hantu Jepun Berlumuran Darah, Wanita Kongsi Pengalaman Seram Masuk Muzium Perang Pulau Pinang

Share

Bila sebut Muzium Perang Pulau Pinang, ramai mengaitkannya dengan kejadian misteri. Bahkan dalam satu temuramah bersama Berita Harian pada tahun 2015, Pengarah muzium berkenaan, Johari Shafie mengakui kubu pertahanan yang sudah berusia 85 tahun ini menyimpan seribu satu rahsia misteri sehingga kini.

"Kalau nak diikutkan, memang banyak cerita seram yang dialami pengunjung yang melawat ke muzium ini. Saya sendiri sering kali berhadapan dengan situasi pelik tapi benar. Mendengar siulan tanpa kelibat, ternampak imej lembaga bergambar dan suara-suara halus sudah kerap kali didengar dan dilihat 30 kakitangan yang bertugas di muzium ini.
"Lama-kelamaan kami semua sudah lali dengan situasi ini dan masing-masing meneruskan kerja seperti tiada apa-apa yang berlaku," katanya ketika ditemui.

Bahkan bunyi derapan kaki tentera Jepun berkawad, bau minyak tanah segar dan kewujudan lembaga misteri antara kisah mistik yang masih berlaku di Muzium Perang Pulau Pinang, terletak di lereng bukit Batu Maung.





Dan kisah misteri muzium ini ternyata masih terjadi lagi hari ini. Dari satu perkongsian di Tik Tok @ Cikpika, dirinya berkongsi pengalaman seram ketika melawat muzium ini baru-baru ini di mana dirinya melihat seorang tentera Jepun berlumuran darah di muzium berkenaan.

Lokasi tentera itu “berdiri” adalah lokasi sebenar tempat penyeksaan suatu ketika dahulu. Jadi tak hairanlah penampakan begini menjadikan muzium perang ini lokasi paling seram di Asia Tenggara.

National Geographic turut menyenaraikan muzium ini sebagai salah satu dari 10 lokasi bersejarah paling seram di Asia.

"Saya berasakan keadaan pelik itu menjadi salah satu keistimewaan bagi pengunjung untuk datang dan merasai sendiri pengalaman misteri Muzium Perang ini.
Pergh, memang hebat Malaysia kan.

Jadi bagi korang yang sukakan cabaran paranormal begini, boleh terjah ke muzium ini dalam lawatan ke Pulau Pinang ya. Tapi sebelum tu baca dulu pengalaman dilalui oleh @Cikpika yang berkebolehan merasai kehadiran makhluk halus.

Kisahnya begini. Kami dalam perjalanan balik ke KL dan nak ikut jambatan kedua. Sampai jambatan tu, suami aku kata ada muzium perang. Jadi aku ajak dia ke sana kerana aku sangka, muzium nie macam muzium di Melaka.

“Berdiri di sini, jantung tetiba berdebar-debar. Ada jurucakap (tempat jual tiket) yang ceritakan sejarah tempat ini dan masa yang sama, suami tanya betul ke nak masuk tempat sini.

“Masuk situ, rasa nak buang air dulu. Malangnya saya tak baca pun maklumat tu. Masuk saja, ada bau semacam. Tapi aku diamkan saja. Sampai satu simpang, ada terowong. Memang gelap. Masa suluh tempat tu guna bateri hp, aku jumpa katak hidup (aku memang takut sangat). Nak naik ke terowong tu kena merangkak 7 meter dan kemudian kena mendaki 9 meter. Masa dalam terowong nie dah dengar orang meraung (masa cerita nie pun sakit kepala sebab dah nak Maghrib). Setiap tempat ada part aku tengok, ada part aku tak tengok.




“Dekat satu part tu aku nampak ada tempat penggal kepala. Situ ada bau hamis-hamis darah. Ada rasa loya. Susah nak explain hal ini. Tapi ada satu tempat nie, ada ternampak seorang sedang berdiri di satu sudut. Rupanya ia seorang askar Jepun yang minta tolong aku dalam keadaan sedang menangis.

“Aku cakap kat diri aku, jangan layan sebab situ memang kawasan hutan. Aku cakap kat laki aku yang aku nak keluar cepat. Nak keluar dari situ sebab memang dah rasa seram sangat. Masa yang sama, aku nampak keluarga Kelantan tu, terutama anak kecilnya yang boleh nampak benda halus. Dia juga tak nak masuk tapi kakaknya suruh masuk.

Masa yang sama, CikPika akui di Muzium Perang tu ada satu terowong yang gelap dan kalau nak masuk ke terowong 100 kaki tu, kena buat bayaran laik. Dan rupanya itulah terowong di mana individu-2 dipenggal kepala, kepala mereka akan dibuang ke dalam terowong tu.

Tak hairanlah disebabkan terlalu banyak kejadian pelik, muzium ini dikatakan paling berhantu di Asia Tenggara. Tapi bagi korang yang minat dengan dunia paranormal, hal ini biasa sajakan. Yang penting pengalaman itu sesuatu yang sukar di lupakan.






Info Muzium Perang Pulau Pinang

Kawasan muzium yang terletak di lereng bukit di Batu Maung adalah bekas kubu pertahanan tentera British ketika menakluki Tanah Melayu dengan mempunyai pemandangan laut seluas 320 darjah.

Dibina pada tahun 1930, kubu itu siap sepenuhnya sembilan tahun kemudian dengan menggunakan tenaga banduan yang dihukum mati dari negara-negara jajahan takluk pihak British.

Di lokasi ini di temui lebih 5,000 pucuk senapang yang digunakan oleh tentera Jepun setelah menakluki Tanah Melayu, senjata-senjata tajam, kelongsong peluru, tulang-tulang manusia, terowong bawah tanah, menara tinjau, berek dan lokap, selain bangunan kubu yang telah ditimbus.

Setelah diambil alih oleh tentera Jepun, tempat itu kemudiannya menjadi saksi kepada segala kekejaman tentera Jepun sepanjang menjajah Tanah Melayu ketika itu.
Sejak mengambil alih kubu pertahanan itu, ia dijadikan tempat menyeksa, membunuh serta transit kepada tahanan perang sebelum dihantar ke Kanchanaburi, Thailand membantu menyiapkan landasan kereta api maut.

Terdapat 37 lokasi peninggalan sejarah boleh dilawati antaranya terowong bawah tanah, menara kawalan dan berek tentera peninggalan tentera Jepun selepas menawan kubu terbabit yang kemudiannya dijadikan tempat seksaan tahanan perang.

Jadi buat anak muda, di kubu pertahanan inilah yang kini dikenali sebagai Muzium Perang Pulau Pinang menjadi saksi kepada pertumpahan darah, air mata serta derita penyeksaan nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Tahanan perang ketika penjajahan Jepun tanpa belas kasihan dirogol, diseksa dan dibunuh di situ dan hari ini kita merasai kemerdekaan hasil usaha nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Sumber tambahan : MStar/BH

Oleh
almaswa Haji Che Ros