Nak Tengok Seni Binaan Asli Rumah Kayu Berusia 100 Tahun Di Kedah? Rumah Tok Su & Rumah Seri Banai Sedia Terima Kunjungan Anda

Share

Seni bina kediaman Melayu asli yang lazimnya berdinding kayu serta beratap nipah atau rumbia kini semakin ditelan zaman, digantikan dengan binaan konkrit berbumbung genting yang lebih gah dan eksklusif.

Tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa mungkin ada generasi muda langsung tidak pernah melihat dari dekat keunikan seni bina tradisional yang biasanya didirikan dengan hanya menggunakan kayu seperti meranti ataupun temak. Justeru, orang ramai dipelawa untuk ‘menziarah’ Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai yang terletak di Kampung Warisan. Terletak berhadapan Wisma Darul Aman, kedua-dua rumah yang dikatakan berusia hampir 100 tahun itu menjadi lambang keunikan serta keaslian seni bina tradisional Melayu di Kedah.

Keistimewaan dan keindahan seni bina Rumah Tok Su dan Sri Banai terletak pada kehalusan ukiran bunga kerawang dan ruang-ruangnya iaitu beranda, rumah ibu, anjung, ruang tengah, selang, dapur dan pelantar. Setiap ruang rumah itu mempunyai fungsi tersendiri berbeza dengan ciri kediaman masa kini, yang mempunyai lebih banyak ruang peribadi seperti bilik-bilik khas. Rumah zaman dahulu tidak ada bilik dan setiap ruang hanya dipisahkan dengan kain pemidang (langsir) dan kebanyakan ruang adalah terbuka seperti anjung, beranda dan pelantar. Pesona rumah tradisional itu pasti menarik minat sesiapa sahaja yang melawatinya, malah ia sering menjadi lokasi pilihan untuk pasangan pengantin mengabadikan kenangan atau bagi mereka yang mahu merakam potret keluarga.

Rumah-rumah berkenaan sebenarnya bukan berasal dari Alor Setar tetapi dipindahkan dari lokasi asal yang berbeza-beza, dan dipasang semula di Kampung Warisan. Rumah Tok Su dibawa dari Kampung Permatang Kerat di Bandar Baharu yang letaknya kira-kira 200 kilometer dari Alor Setar, manakala Rumah Seri Banai berasal dari Kampung Banai di daerah Kubang Pasu tidak jauh dari sini. Nama Seri Banai diberikan sempena lokasi asal rumah ini, manakala nama Tok Su ialah sempena nama panggilan anak bongsu pemilik asal rumah itu.

Rumah Seri Banai pernah digunakan sebagai sekolah rakyat sebelum Sekolah Kebangsaan Seri Banai dibina di kawasan asal rumah itu sehingga kini, manakala Rumah Tok Su pula pernah dijadikan lokasi untuk mesyuarat politik dan pertemuan anggota Pergerakan Barisan Pemuda yang memperjuangkan bangsa Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Difahamkan Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai juga pernah menjadi lokasi penyelidikan pelajar institut pengajian tinggi yang mengambil jurusan seni bina. Dengan menghayati seni warisan generasi terdahulu, secara tidak langsung kita dapat memupuk semangat cintakan budaya serta asal usul kita, sekali gus dapat membina jati diri dan menambah ilmu sejarah.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna