Nak Tengok Rama-Rama Raja Brooke’s , Mandi Kolam Air Panas Boleh Singgah Kuala Woh

Share

Hutan Lipur Kuala Woh terletak 13 kilometer dari Pekan Tapah di daerah Tapah, Perak bukanlah lokasi pelancongan yang baharu. Namun masih ramai yang belum tahu mengenai keindahan alamnya.

Terletak di jalan lama dari Tapah-Cameron Highlands, keunikan lokasi ini adalah pengunjung boleh mandi-mandi di kawasan jeram sungai yang begitu mendamaikan.

Hutan Rekreasi Kuala Woh yang juga terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Tapah ini menyediakan denai penerokaan hutan yang lengkap sekali gus menawarkan perjalanan dan pengembaraan menarik. Di kawasan jeram air terjun, pengunjung dapat melihat kehijauan pokok-pokok di sekelilingnya. Pokok yang ada dianggarkan lebih puluhan tahun dan berfungsi sebagai teduhan untuk mengelakkan cuaca panas terutama kepada orang ramai.

Uniknya jeram di sini bercampur dengan air panas semula jadi. Bagi yang ingin merasai kehangatan airnya boleh berendam di kawasan kolam air panas. Anda boleh merasai kepanasan pasir di dasarnya. Bagi yang mahu merasai kesejukan air, boleh memilih untuk berendam di kawasan bersebelahan kolam air panas sama ada di kira atau kanan sepanjang jeram.

Bukan saja lokasi berkelahnya cukup mengujakan tetapi juga destinasi percutian alam ini kaya dengan keindahan flora dan fauna mempesona. Kehadiran rama-rama Rajah Brooke’s yang hidup bebas di dalam habitat semula jadinya dan gabungan air sungai Batang Padang serta air panas semula jadi di Lubuk Merbau melengkapkan percutian alam di Hutan Rekreasi Kuala Woh ini.

Selain itu, jambatan gantung sepanjang 30 meter yang merentasi Sungai Batang Padang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan yang menarik daripada bahagian atas jambatan satu daya penarik yang unik bagi hutan rekreasi ini.

Kemudahan asas seperti dewan terbuka, kafe, chalet, pondok rehat, tandas, tapak perkhemahan dan tapak caravan turut disediakan bagi menjamin keselesaan pengunjung. Dibuka dari jam 7 pagi hingga 6 petang, bayaran sebanyak RM2 dan RM1 untuk kanak-kanak dikenakan. Bagi perkhemahan dan bermalam pula, anda perlu berhubung dengan Pejabat Hutan Daerah.

Oleh
Husna