Seni bina kediaman Melayu asli yang lazimnya berdinding kayu serta beratap nipah atau rumbia kini semakin ditelan zaman, digantikan dengan binaan konkrit berbumbung genting yang lebih gah dan eksklusif.
Tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa mungkin ada generasi muda langsung tidak pernah melihat dari dekat keunikan seni bina tradisional yang biasanya didirikan dengan hanya menggunakan kayu atau buluh. Justeru, orang ramai dipelawa untuk ‘menziarah’ Perkampungan Adat Melayu Seri Banian.
Perkampungan Adat Melayu Seri Banian yang diasaskan seorang guru silat di Pendang, Kedah menawarkan suasana kehidupan Melayu lama kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman berada pada zaman dahulu kala sekali gus dapat mengetahui budaya Melayu lama.
‘Seri Banian’ merujuk kepada kampung yang berseri iaitu perkataan ‘Ban’ bermaksud kampung dalam Bahasa Siam manakala ‘Nian’ membawa makna sunyi dan dingin yang jika digabungkan ‘Seri Banian’ menjadikan ia penyeri kampung sunyi itu. Projek membina perkampungan di Kampung Bendang Bukit ini berkonsepkan Adat Melayu Nusantara yang terdiri daripada rumah serta adat dan budaya suku kaum Melayu terdahulu seperti Acheh, Banjar, Bugis, Jawa dan Minangkabau selain budaya orang Malaysia.
Di perkampungan ini terdapat beberapa rumah Melayu lama yang memiliki identiti dan reka bentuk tersendiri yang menarik dan perbezaan reka bentuk itu berdasarkan struktur bumbung pada rumah tersebut. Suasana di situ sememangnya terasa seperti pada zaman Melayu silam termasuk terdapat balairung seri yang dibina dengan reka bentuk Melayu Nusantara selain makanan tradisional juga disediakan kepada pengunjung dengan harga berpatutan sekiranya mereka berkeinginan menikmati makanan tersebut.
Tujuan utama perkampungan itu dibina adalah untuk memperkenalkan budaya masyarakat Melayu Nusantara pada zaman silam apabila dapat mengumpulkan semua warisan Melayu itu di satu tempat bagi tatapan generasi muda kini.
Jom cuti-cuti Malaysia
image via FB Kampung Adat Melayu Seri Banian | Sumber: Bernama