Seni bina kediaman Melayu asli yang lazimnya berdinding kayu serta beratap nipah atau rumbia kini semakin ditelan zaman, digantikan dengan binaan konkrit berbumbung genting yang lebih gah dan eksklusif.
Tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa mungkin ada generasi muda langsung tidak pernah melihat dari dekat keunikan seni bina tradisional yang biasanya didirikan dengan hanya menggunakan kayu atau buluh. Justeru, orang ramai dipelawa untuk ‘menziarah’ Perkampungan Adat Melayu Seri Banian.
Perkampungan Adat Melayu Seri Banian yang diasaskan seorang guru silat di Pendang, Kedah menawarkan suasana kehidupan Melayu lama kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman berada pada zaman dahulu kala sekali gus dapat mengetahui budaya Melayu lama.
Ads
‘Seri Banian’ merujuk kepada kampung yang berseri iaitu perkataan ‘Ban’ bermaksud kampung dalam Bahasa Siam manakala ‘Nian’ membawa makna sunyi dan dingin yang jika digabungkan ‘Seri Banian’ menjadikan ia penyeri kampung sunyi itu. Projek membina perkampungan di Kampung Bendang Bukit ini berkonsepkan Adat Melayu Nusantara yang terdiri daripada rumah serta adat dan budaya suku kaum Melayu terdahulu seperti Acheh, Banjar, Bugis, Jawa dan Minangkabau selain budaya orang Malaysia.
Di perkampungan ini terdapat beberapa rumah Melayu lama yang memiliki identiti dan reka bentuk tersendiri yang menarik dan perbezaan reka bentuk itu berdasarkan struktur bumbung pada rumah tersebut. Suasana di situ sememangnya terasa seperti pada zaman Melayu silam termasuk terdapat balairung seri yang dibina dengan reka bentuk Melayu Nusantara selain makanan tradisional juga disediakan kepada pengunjung dengan harga berpatutan sekiranya mereka berkeinginan menikmati makanan tersebut.
Ads
Tujuan utama perkampungan itu dibina adalah untuk memperkenalkan budaya masyarakat Melayu Nusantara pada zaman silam apabila dapat mengumpulkan semua warisan Melayu itu di satu tempat bagi tatapan generasi muda kini.
Ads
Orang ramai dijemput untuk berkunjung ke perkampungan ini yang dibuka setiap hari seawal 10 pagi hingga 7 malam dengan dewasa dikenakan bayaran RM3 manakala RM1 bagi kanak-kanak dan sekiranya ingin menunggang kuda ataupun bergambar bersama kuda dikenakan caj RM5 sahaja.
Pada setiap hari Jumaat dan Sabtu akan ada hidangan makanan Melayu Nusantara yang istimewa untuk pengunjung seperti sate Anta Berahi dan sate Meranging. Menu-menu ini akan berubah dari semasa ke semasa untuk memberikan kelainan kepada pengunjung.
Pada hari Jumaat dan Sabtu itu juga pengunjung boleh menikmati hidangan makanan sambil menonton persembahan silat serta muzik dan nyanyian tradisional Melayu.
Taman tema terbesar yang bakal menjadi destinasi pulau impian di Eropah akan dibuka di ibu negara Rusia pada hujung Februari 2020. Alang-alang ke sana nak cari aurora, boleh la singgah taman tema ni sekali kan?
Direka bagi menempatkan 20,000 orang pada satu-satu masa, taman yang dikenali sebagai Dream Island bakal menjadi destinasi pelancongan keluarga. Projek bernilai US$1.5 bilion dibina dengan penyertaan besar syarikat Turki, Ronesans Holding.
Taman tema ini adalah yang terbesar di Rusia dan menjadi taman dalam dewan seakan 'kaca' terbesar di Eropah. Tiada taman seumpama di Scandinavia. Taman tema dalam dewan yang paling hampir adalah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Semua tarikan di sini unik dan dibina khas untuk Dream Island. Taman yang dibina di pulau kecil berhampiran pusat bandar Moscow, direka seperti sebuah taman dengan lembah di tengah dengan hujungnya ditempatkan buaian berpusing dan empat medan yang dihiasi lanskap menarik.
Setiap medan dibina dengan struktur menyerupai jalan raya di empat bandar raya dunia iaitu Barcelona, Beverly Hills, London dan Rome. Secara umum ia adalah sebuah bandar sebenar kecuali ia mempunyai atap kaca. Ini kerana Dream Island mahukan pelancong berasa selesa dalam semua keadaan cuaca dan musim. Secara keseluruhan, sebanyak 8,600 meter persegi kaca digunakan dan terbesar di Eropah.
Dream Island mempunyai lapan zon yang mewakili perbezaan rantau dunia dan disulami hero global seperti smurfs, Teenage Mutant Ninja Turtles, Hello Kitty, Hotel Transylvania, Mowgli di Bumi Dinosaur, Dream race, Istana Snow Queen dan Magic Village serta teater boneka dan rumah hantu.
Dream Island juga memberi perhatian khusus terhadap ciri keselamatan sejajar dengan aspek keselamatan Rusia dan antarabangsa.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Berjaya Tioman Resort yang sudah beroperasi selama 50 tahun ditutup sepenuhnya bermula 15 Jun 2020 selepas terkesan dengan penularan COVID-19 dan akan menjalani aktiviti pembangunan semula.
Semua kakitangan di resort itu akan diberhentikan dan akan diberi pampasan sewajarnya membabitkan kos RM8 juta. Selepas selesai kerja pembangunan semula dibuat, pihak pengurusan akan mempertimbangkan untuk menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada semua pekerja terjejas.
“Dengan berat hati diumumkan bahawa Berjaya Tioman Resort akan menghentikan operasinya berkuat kuasa 15 Jun 2020, disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang memberi kesan buruk kepada industri pelancongan. Sepanjang penutupan ini, pihak pengurusan akan menjalankan pembangunan semula yang amat diperlukan untuk menghidupkan semula resort ini, yang berusia lebih 50 tahun. Kami mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan mereka untuk terus bersama dengan kami ketika di waktu susah dan senang,” kata pengurusan Berjaya Tioman Resort.
Berjaya Tioman Resort adalah sebahagian daripada portfolio yang dimiliki oleh Berjaya Land Bhd. Di Malaysia, Berjaya Land turut mempunyai resort lain di Langkawi, Pulau Redang, Bukit Tinggi, serta hotel di beberapa kawasan di Asia dan Eropah. Kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 13 hotel dan resort di dalam dan di luar negara.
Bukit Malawati terletak di Kuala Selangor menjadi destinasi sempurna untuk menyaksikan pemandangan indah dari kawasan puncak bukit setinggi kira-kira 100 meter. Bukit Malawati terkenal dengan kisah sejarah panjang berusia ratusan tahun ketika era pemerintahan Kesultanan Selangor. Kawasan itu pernah menjadi pusat pentadbiran bagi kerajaan Kesultanan Selangor sebelum berpindah ke Jugra, Banting dan Bandar Diraja Klang.
Bukit Malawati pernah ditakluki Belanda daripada tangan Sultan Ibrahim pada Julai 1784. Setahun kemudian iaitu pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Datuk Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Abd Majid dari Pahang, menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja. Serangan bermula selepas waktu Isyak itu berjaya menawan bukit ini ketika fajar Subuh.
Dibuka dari awal pagi hingga 7 petang, Bukit Malawati memiliki pelbagai tarikan menarik antaranya Muzium Permainan Tradisional, Perigi Beracun, Laman Budaya, Muzium Sejarah Kuala Selangor, Makam Diraja, Telaga Tujuh, Meriam Penggawa, Tangga Seratus,Batu Hampar, Busut Malawati, Kota Malawati, Baitulhilal dan Rumah Api.
Meriam Penggawa di Makam Tiga Sultan dikatakan pernah meletup sendiri pada 1961 dan 1978. Malah, terdapat cerita mengatakan meriam yang sentiasa dibalut dengan kain kuning itu sering meletup sendiri setiap kali pertabalan Sultan Selangor yang baharu. Itu antara kisah misteri yang terdapat di Bukit Malawati. Ada juga yang mengatakan terdapat batu delima di dalam meriam ini. Mengikut ceritanya, meriam ini ditemui dalam keadaan tenggelam timbul seolah-olah orang sedang berenang di Sungai Buluh.
Makam Tiga Sultan pula adalah tempat bersemadinya tiga sultan Selangor terawal iaitu Sultan Salahuddin (1756-1778), Sultan Ibrahim (1788-1826) dan Sultan Muhammad (1826-1857).
Di bukit ini juga terdapat Busut Malawati yang dipercayai menjadi tempat istirahat sultan. Nama Malawati juga dipercayai diambil daripada busut ini. Mengikut bahasa Sanskrit, ‘mala’ bermaksud kotor manakala ‘wati’ pula bersih dengan flora dan fauna.
Tidak jauh dari situ, terletak Batu Hampar yang asalnya batu tambatan bahtera di Pengkalan Batu Buruk. Ia dibawa ke pintu masuk Kota Malawati sebagai tempat bermain dam dan congkak oleh Nakhoda Omar atas arahan Sultan Ibrahim.
Bukit Malawati juga menempatkan Perigi Beracun yang pernah dijadikan tempat penyeksaan kepada penderhaka. Difahamkan, air perigi berkenaan terkandung pelbagai jenis racun dan miang rebung. Penderhaka dikatakan direndam dalam air separas bahu dalam perigi itu sehingga mati. Bagaimanapun, perigi yang ada sekarang dibina semula pada 1985 selepas perigi asal yang dipercayai terletak di hadapan pokok besar berdekatan tempat letak kereta Muzium Permainan, dikambus pada pertengahan 1977.
Tinggalkan sebentar segala sejarah yang ada di situ. Kini ada tarikan lain yang menyebabkan Bukit Malawati dikunjungi ramai iaitu kewujudan habitat beberapa spesies monyet mendiami Bukit Malawati. Haiwan itu umpama duta dan menjadi satu tarikan utama kepada pengunjung yang mahu melihat gelagat monyet itu.
Turut tersedia ruang parkir percuma untuk pengunjung yang datang menaiki kenderaan sendiri. Tiket dikenakan jika anda memilih untuk menaiki trem keretapi untuk ke atas Bukit Malawati, iaitu RM3 dewasa dan RM2 kanak-kanak. Perkhidmatan trem ini hanya berjalan pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Namun jika anda mempunyai stamina yang tinggi dan tidak kisah berjalan kaki naik ke atas, tiada sebarang caj dikenakan. Sementara pada hari bekerja biasa, pengunjung boleh berjalan kaki atau naik dengan kenderaan sendiri sehingga ke puncak bukit.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...