Nak Masuk Negeri Kelantan Wajib Buat Saringan

Share

Negeri Kelantan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke negeri ini menjalani ujian saringan COVID-19 berkuat kuasa serta-merta minggu lalu.

Ia berikutan kes seorang wanita hamil di Kuala Krai yang positif COVID-19 selepas pulang ke Kelantan. Wanita hamil tersebut didapati positif COVID-19 selepas melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah ke Kelantan. Wanita tersebut disahkan positif COVID-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Arahan itu membabitkan semua yang masuk melalui pesawat atau kenderaan darat. Mereka akan disaring di sekatan jalan raya di Jeli, Gua Musang, Pasir Puteh dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP). Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri akan ditempatkan di semua pintu masuk sempadan negeri.

Orang ramai diingatkan tidak menggunakan laluan tikus bagi mengelak menjalani ujian saringan berkenaan. Selain itu, negeri Kelantan juga turut mewajibkan pemakaian penutup muka di premis tertutup.

Selain itu, penduduk di Kelantan sudah dibenarkan untuk makan di dalam kedai atau restoran bermula esok meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berjalan. Peniaga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan semasa mengendalikan premis masing-masing. Premis perniagaan dibenarkan beroperasi seawal jam 7 pagi hingga 10 malam sahaja.

 

Sumber: Sinar Harian

Oleh
Husna