Naik ATV & Bagi Enggang Makan. Aktiviti Berbeza Boleh Buat Di Pangkor Selain Mandi Laut

Share

Pulau Pangkor terletak di perairan Selat Melaka di Perak merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia. Pulau Pangkor cukup strategik buat mereka yang ingin bercuti ke pulau walaupun pada musim tengkujuh. Pulau Pangkor dikatakan berasal daripada bahasa Siam iaitu Pang Koh bermakna 'pulau yang cantik'.

Pulau ini kecil sahaja, malah pengunjung sebenarnya boleh melawat ke semua tarikan Pangkor dalam masa setengah hari sahaja. Destinasi ini boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atau menggunakan kenderaan.Pulau Pangkor, lokasi ideal jika anda hanya mempunyai tempoh yang pendek untuk bercuti. Walaupun singkat, percutian anda akan penuh dengan aktiviti menarik.

Dah nama pun ke pulau, mestilah aktiviti air yang akan kita buat. Tetapi sebenarnya di Pulau Pangkor ada lebih daripada itu. Cuba aktiviti lain seperti yang dikongsikan oleh saudara Fariz Ali ini jika ke Pangkor.

  • INILAH AKTIVITI NO.1 DI PULAU PANGKOR!

Terus terang saya katakan aktiviti no. 1 yang harus anda lakukan apabila berada di Pulau Pangkor adalah BERI BURUNG ENGGANG MAKAN!! Yaaa, anda tidak silap dengar. Burung Enggang. Burung yang biasanya sinonim dengan Negeri Sarawak. Namun, di Pulau Pangkor, burung ini hidup bebas di hutan belantaranya. Anak-anak saya yang baru pertama kali melihat spesies burung ini, persoalan pertama mereka adalah. ‘’Kenapa burung ini pakai kotak kat mulut dia??’’ Manakan tidak, burung ini amat unik kerana bentuk paruhnya. Lokasi untuk melakukan aktiviti ini adalah di Sunset View Chalet, Teluk Nipah. Boleh dilakukan setiap hari pada pukul 630pm.






Menurut Pak Din, seorang penjinak burung Enggang di sini, merangkap pemilik Sunset View Chalet, aktiviti ini telah dimulakan oleh bapa beliau lagi & ianya menjadi rutin seharian keluarga mereka. Makanan burungnya mudah sahaja, pisang! Sebelum bermula aktiviti ini, anda sudah boleh melihat burung-burung ini mula memenuhi ruang legar udara & bertenggek di tiang-tinag elektrik menunggu masa untuk makan. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, anda masih belum sampai Pulau Pangkor jika tidak bertemu dengan burung Enggang ini.

Hornbill Feeding, Sunset View Chalet, Lot 4461, Teluk Nipah, Pulau Pangkor
Waktu aktiviti : Setiap hari, 6.30 petang

  • MEREDAH BELANTARA PANGKOR DENGAN ATV



Bertempat di Teluk Nipah, anda boleh menaiki ATV untuk menyelusuri belantara di Pulau Pangkor. Yang lebih menarik lagi, budak2 juga dibenarkan untuk naik bersama! Jika anda ingin menaiki ATV berdua, pilihlah saiz ATV yang lebih besar. Dengan harga pakej RM150 untuk setiap ATV, anda akan dibawa menyelusuri hutan belantara bermula di Teluk Nipah dan berakhir di Teluk Dalam sebelum menamatkan aktiviti.




Trek laluannya mempunyai 3 perhentian. Laluan pertama lebih kepada membiasakan diri dengan jentera ATV di laluan denai hutan. Laluan kedua pula diakui sebagai laluan yang paling sukar di antara semua laluan. Di sini, pemanduan anda akan diuji dengan laluan berbukit yang agak curam dan jalan yang berlubang dan berbecak. Jangan risau, akan ada penunjuk ajar…ikut sahaja teknik pemanduan yang diajar. Laluan ketiga, lebih kepada laluan santai. Anda akan dibawa melalui jalan tar berlatarbelakangkan pemandangan di tepian pantai Teluk Dalam. Sungguh indah. Seperti biasa, anak-anak memang teruja dapat naik ATV. Berangin lebih katanya.




ATV Adventure Pangkor, 6610, Teluk Nipah, 32300 Pulau Pangkor, Perak

Jom cuti-cuti Malaysia!

Oleh
Husna