Muzium Terengganu atau dikenali Muzium Losong selain diiktiraf muzium terbesar dan tercantik di Malaysia, ia juga memiliki keistimewaan tersendiri dan paling menonjol ialah seni landskapnya.
Sebut apa saja flora, semuanya mudah kita temui di persekitarannya kerana pengurusan Muzium ini begitu kreatif melakar situasi pemandangan supaya tidak hanya berbentuk konkrit yang kaku. Muzium Terengganu dikategorikan satu-satunya muzium berlakar belakang taman indah atau 'Muzium dalam taman' kerana lokasi di lembah Bukit Losong dengan struktur tanah-tanih membolehkan apa saja jenis pokok ditanam.
Kedudukan di pesisir sungai Terengganu pula memainkan peranan sebagai pemangkin kepada wujudnya suasana indah dan mendamaikan jiwa. Berada di sini, hati menjadi damai dan ceria melihat panorama yang memukau. Muzium terbesar di Asia Tenggara ini seluas 23 hektar tersergam indah bercirikan rumah tradisional Terengganu juga mempunyai 5 buah rumah tradisional Terengganu pelbagai bentuk. Ia bukanlah replika rumah tradisional asli, tetapi adalah rumah tradisional Terengganu sebenar yang menghuni bumi lebih dari 100 tahun.
Di sini mempunyai 8 galeri dan paling menarik terdapat perahu besar jenis Pinis Gobel dan Pinis Dogol sepanjangnya 74 kaki dipamirkan di sini. Perahu ini digunakan pada zaman dahulu untuk aktiviti perdagangan pada tahun 50-an. Nak lihat batu bersurat kesan tinggalan sejarah? Muzium ini adalah lokasi yang menempatkan batu bersurat yang di ukir pada tahun 702 Hijrah.
Info : dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang dari Sabtu hingga Khamis.
Sumber: FB Terengganu State Museum