Sebuah muzium khusus berkaitan monyet akan dibuka di Bukit Melawati, Kuala Selangor. Sekiranya berjaya dibuka, ia akan menjadi muzium monyet pertama di Malaysia dan juga mungkin pertama seumpamanya di dunia.
Perancangan itu dijalankan di bangunan bekas rumah jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran yang kini dalam proses konservasi.Terdapat 22 spesies monyet di Malaysia tetapi hanya lapan yang masih aktif di Kuala Selangor. Bukit Melawati di Kuala Selangor paling dikenali dengan monyet dari spesies Silver Leafed Monkey.
Bukit Malawati terletak kira-kira 65 kilometer dari Kuala Lumpur, Bukit Malawati menjadi destinasi sempurna untuk tujuan menyaksikan pemandangan indah dari kawasan puncak bukit setinggi kira-kira 100 meter. Bukit Malawati terkenal dengan kisah sejarah panjang berusia ratusan tahun ketika era pemerintahan Kesultanan Selangor. Kawasan itu pernah menjadi pusat pentadbiran bagi kerajaan Kesultanan Selangor sebelum berpindah ke Jugra, Banting dan Bandar Diraja Klang.
Tinggalkan sebentar segala sejarah yang ada di situ. Tarikan lain yang menyebabkan Bukit Malawati dikunjungi ramai iaitu kewujudan habitat beberapa spesies monyet mendiami Bukit Malawati. Haiwan itu umpama duta dan menjadi satu tarikan utama kepada pengunjung yang mahu melihat gelagat monyet itu. Menurut penjaja makanan monyet, spesies jenis lotong lebih mesra dan tidak sejahat seperti spesies kera biasa. Bukan sahaja pengunjung tempatan tetapi pelancong dari luar negara serta sesetengah jurufoto gemar melihat dan merakam gelagat monyet-monyet di Bukit Malawati ini.
Turut tersedia ruang parkir percuma untuk pengunjung yang datang menaiki kenderaan sendiri. Tiket dikenakan jika anda memilih untuk menaiki trem keretapi untuk ke atas Bukit Malawati, iaitu RM3 dewasa dan RM2 kanak-kanak. Perkhidmatan trem ini hanya berjalan pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Namun jika anda mempunyai stamina yang tinggi dan tidak kisah berjalan kaki naik ke atas, tiada sebarang caj dikenakan.Sementara pada hari bekerja biasa, pengunjung boleh berjalan kaki atau naik dengan kenderaan sendiri sehingga ke puncak bukit.
Foto Hak Milik Majalah Libur