‘Muzium Hidup’ Kampung Budaya Terengganu, Tarikan Baru Muzium Negeri Julang Warisan Tradisi Masyarakat Melayu

Share

Ada tarikan baru di Muzium Negeri Terengganu ketika ini jika anda datang berkunjung ke sini. Mungkin ada yang masih kurang mengenali budaya negeri Terengganu, jarang-jarang kita dapat saksikan tradisi masyarakat Melayu di negeri ini.


Kalau anda ingin mengetahui lebih banyak mengenai warisan tradisi masyarakat Terengganu, jangan lepaskan peluang ke muzium ini sekarang. Istana Tengku Long dan Istana Tengku Nik yang berusia lebih 100 tahun merupakan antara warisan Melayu Terengganu yang menanti pengunjung di 'Kampung Budaya Terengganu'.


  • Produk pelancongan terbaru Terengganu ini dibuka secara percuma kepada pengunjung bermula 6 September 2020 dan selepas itu bayaran sebanyak RM15 dikenakan bagi warganegara dewasa dan RM10 kanak-kanak
    . Bagi bukan warganegara pula, bayaran sebanyak RM30 bagi dewasa, dan RM 20 untuk kanak-kanak, manakala warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) masing-masing sebanyak RM10.

Kampung Budaya Terengganu yang berkonsepkan muzium hidup itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mewujudkan 'one stop centre' yang menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh Terengganu. Berlatarbelakangkan suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama, kampung budaya ini merupakan kesempatan terbaik bagi pelancong untuk beramai-ramai datang ke Terengganu dan merasai pengalaman percutian bersejarah. Kampung Budaya Terengganu ini juga merupakan platform terbaik untuk anak-anak muda mengenali sebahagian dari tradisi nenek moyang mereka kerana selain dapat merasai kepelbagaian suasana masyarakat di Terengganu, terdapat juga permainan dan peralatan tradisional yang tidak pernah dilihat oleh generasi hari ini.






Lapan elemen penting dalam warisan sejarah Melayu Terengganu dipamirkan iaitu Rumah Bujang Berserambi atau Istana Tengku Nik; Rumah Limas Belanda; Rumah Bujang Berpeleh; Rumah Bujang Berserambi Selasar; Rumah Limas Bungkus atau Istana Tengku Long; Galeri Pelayaran; Rumah Nelayan dan Laman Warisan, Kampung Budaya Terengganu turut menempatkan dua perahu besar tinggalan sejarah. Setiap elemen tersebut, mempunyai identiti yang sinonim dengan setiap daerah di Terengganu dan diuruskan oleh pejabat daerah masing-masing yang digelarkan 'bapa angkat'.

Selain pameran rumah asal tradisional negeri, pengunjung kampung budaya itu juga akan turut disajikan dengan pelbagai demonstrasi dan aktiviti kesenian negeri seperti demonstrasi pembuatan laksa Terengganu menggunakan alat tradisional 'kebok' dan sukan rakyat sepak bulu ayam.




image via google | sumber: Bernama

Oleh
Husna