Musim Tengkujuh Dah Tiba, Hutan Simpan Di Selangor Ditutup 3 Bulan Untuk Sebarang Aktiviti Pendakian Bermula 1 November!

Share

Bagi yang suka hiking dan tinggal di Lembah Klang atau Selangor, Seperti tahun-tahun terdahulu Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) baru-baru ini telah mengeluarkan notis larangan untuk sebarang aktiviti pendakian dan rekreasi atau hiking di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu ekoran tibanya musim tengkujuh.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh Jabatan tersebut di akaun Facebook rasmi pada minggu lalu, JPNS memaklumkan bahawa semua laluan pendakian serta aktiviti rekreasi di dalam hutan Simpanan Kekal adalah tidak dibenarkan dan ditutup kepada umum.

Notis tersebut berkuat kuasa bermula 1 November ini dan sehingga 3 bulan dari tarikh tersebut iaitu pada 31 Januari 2023. Pembukaan semula hutan simpan ini akan dimaklumkan kelak selepas musim tengkujuh.

Dalam notis tersebut juga, JPNS menyatakan penutupan tersebut dibuat sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian mahupun kemalangan yang tidak diingini berlaku berikutan musim tengkujuh nanti.

Penutupan tersebut merupakan prosedur rutin yang dilakukan setiap tahu apabila tibanya musim tengkujuh dimana hujan lebat dijangka turun pada waktu tersebut setiap tahun.

Antara Hutan Simpan yang terkenal untuk aktiviti hiking di Selangor termasuklah:

  1. Bukit Broga
  2. Gunung Hitam
  3. Gunung Nuang
  4. Bukit Kembara
  5. Rawang Templer Park
  6. Bukit Kutu
  7. Sungai Congkak
  8. Taman Rimba Ampang
  9. Taman Rimba Kanching
  10. Sungai Tekala

Untuk maklumat lanjut tentang lokasi HSK yang ditutup boleh hubungi talian talian 03-55447000, 03-55447507 atau e-mel admin_eco_park@forestry.gov.my,

Bagi yang suka hiking, sebaiknya tangguh dulu aktiviti sebegini kerana cuaca sekarang yang tidak menentu dan sering hujan.

Sumber: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

Oleh
SAHR