Musim Mempelam Harumanis Dah Nak Mula. Kerajaan Perlis Sarankan Harumanis Jadi Pengganti Kurma Ketika Berbuka Puasa

Share

Musim harumanis dijangka akan bermula pada awal Mei ini sehingga penghujung Jun 2019. iaitu sekitar bulan puasa nanti. Oleh itu penduduk Perlis dicadang menjadikan mempelam harumanis sebagai menu berbuka puasa bagi menggantikan kurma pada Ramadan yang bakal menjengah tidak lama lagi.

Sebut sahaja mangga harumanis, sudah pasti ramai yang terbayang keenakan serta rasa lemak buah tropika berkenaan. Isinya yang berwarna oren kekuningan ditambah dengan rasa yang manis serta berbau harum mampu memikat setiap yang melihat untuk mencubanya. Namun, apa yang membataskan pembeli ialah harga mangga harumanis yang boleh dikelaskan sebagai agak tinggi berbanding buah mangga lain.

Pengerusi Pertanian dan Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob berkata, cadangan dan galakan menggantikan harumanis sebagai pencuci mulut ketika berbuka puasa sebagai alternatif sekiranya berlaku lambakan mempelam berkenaan khususnya pada bulan puasa.

Selain itu kata beliau, para pengusaha harumanis juga tidak perlu bimbang mengenai isu lambakan ini kerana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membeli kesemua buah berkenaan yang tidak habis dijual.

Kerajaan Negeri Perlis akan menyediakan sebuah lori bagi memudahkan urusan penghantaran mempelam harumanis ke luar negeri dengan anggaran pengeluaran tahun ini sebanyak 2,100 metrik tan.

Selain dijadikan menu berbuka puasa menggantikan kurma, antara kaedah lain bagi mengelakkan lambakan mempelam berkenaan khususnya pada Ramadan adalah seperti buah tersebut dijadikan menu wajib dalam majlis kerajaan seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub baru-baru ini.

Selain itu, produk-produk harumanis juga boleh dijadikan sebagai cenderahati pada majlis-majlis khususnya pada Ramadan ini. Walau bagaimana pun dijangka sambutan orang ramai terhadap harumanis akan terus meningkat seperti tahun-tahun sebelum ini.

Tip Buah Harum Manis Dalam Keadaan Baik (Tahap Matang)

  • Buah dibalut selepas 5 minggu anthesis atau saiz 16-19cm dan dipungut 8 minggu selepas balut.
  • Pastikan buah yang akan dipungut berdebu, sinus telah membulat, bahu meninggi, tangkai pengasuh telah kering dan lentisel pada kulit (eksokarp) telah licin sepenuhnya.
  • Pastikan bacaan brix melebih 12 menggunakan brix scanner meter.

Sumber : FB Jabatan Pertanian Malaysia

Oleh
Husna