Seperti mana kita semua sedia maklum kerajaan kini membenarkan untuk pelancong dari dalam negara pergi ke Langkawi sebagai salah satu projek rintis gelembung pelancongan. Mana-mana individu lengkap vaksinasi dibenarkan ke pulau legenda tersebut kecuali dari kawasan PKPD.
Namun mereka terlebih dahulu perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 sama ada ujian PCR atau RTK. Majlis Pemulihan Negara kini optimis lebih ramai pelancong akan ke Langkawi apabila projek rintis gelemnbung pelancongan mencapai kejayaan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada peringkat awal projek itu, banyak perkara yang perlu diperhalusi namun semuanya dijangka berjalan lancar setelah tahap keyakinan rakyat dan pengusaha industri pelancongan meningkat.
“Saya jangka apabila tahap keyakinan dalam kalangan pengusaha pelancongan meningkat dan kemudahan yang disediakan kembali boleh digunakan pelancong, apa lagi penerbangan dari luar negara dibolehkan masuk ke sini, maka peratusan atau kadar (pelancong ke Langkawi) yang dijangka awal itu boleh berubah.
“Saya harap lebih besar daripada itu kerana Langkawi mempunyai kapasiti 12,000 bilik, insya-Allah lebih banyak lagi hotel baharu akan dibina bila keadaan bertambah baik,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pengusaha hotel, inap desa, kereta sewa dan pemandu teksi Langkawi hari ini.
Beliau diminta mengulas sasaran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menjangkakan 200,000 pelancong berkunjung ke Langkawi hingga Disember ini susulan pembukaan semula industri di bawah projek rintis gelembung pelancongan bermula hari ini.
Muhyiddin juga menjangkakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan prosedur operasi standard terutama berkaitan rentas negeri apabila Malaysia mencapai tahap imuniti kelompok yang diperlukan dan lebih banyak negeri beralih ke Fasa Dua atau Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.
Beliau berkata apabila ini berlaku, rakyat akan dibenar menjalankan lebih banyak aktiviti bukan hanya dalam sektor pelancongan tetapi juga perniagaan, pengangkutan dan perkilangan.
“Apa yang penting supaya kita dapat lihat proses pemulihan kita cepat, kita tidak boleh bertangguh kerana kita telah menanggung kos yang terlalu mahal dalam tempoh setahun yang lepas disebabkan oleh pandemik,” jelasnya lagi.
Jadi buat anda yang memasang niat untuk ke Langkawi dalam tempoh terdekat, lakukan perancangan sebaiknya. Setiasa mematuhi SOP dan jaga diri dan keluarga.
Sumber: BERNAMA & Astro Awani