Misi Tawan Gunung Tahan, MOTAC Pahang Rancak Promosi Produk Pelancongan Taman Negara!

Share

Demi menimba sendiri pengalaman dan pengetahuan dengan lebih mendalam untuk mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di negeri Tok Gajah, pegawai dan kakitangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Pahang tampil dengan inisiatif mendaki ke puncak Gunung Tahan di Taman Negara Sungai Relau, Kuala Lipis baru-baru ini.

Inisiatif MOTAC Negeri Pahang mendaki ke puncak paling tinggi di Semenanjung itu bertujuan untuk memberikan suntikan jatidiri yang jitu kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam kerja-kerja pemasaran dan pembangunan produk-produk pelancongan negeri, selain mengenalpasti masalah, isu dan juga rintangan yang mungkin dihadapi untuk ditambahbaik demi keselesaan pelancong sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun hadapan.

Gambar kumpulan kesemua peserta misi MOTAC Negeri Pahang menawan puncak Gunung Tahan terdiri daripada JKKN Negeri Pahang, Bomba, HAMOC, Persatuan Malim Gunung Tahan, pemandu pelancong Gunung Tahan dan Majalah Libur.

Misi menawan puncak Gunung Tahan berketinggian 2,187 meter dari aras laut itu juga menerima penglibatan beberapa agensi dan persatuan sekitar negeri Pahang seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negeri Pahang, bomba, Persatuan Komuniti Pendaki Pahang (HAMOC), SGI Outdoor dan Persatuan Malim Gunung Tahan.

Pengarah MOTAC Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, kesempatan yang ada semasa misi menawan puncak Gunung Tahan itu dimanfaatkan untuk melihat dan menilai sendiri bagaimana mutu perkhidmatan pemandu pelancong yang dilesenkan di bawah kementerian semasa membawa pelancong ke Gunung Tahan, sama ada berkualiti ataupun tidak dan penambahbaikan yang boleh dilakukan di masa akan datang.

Keselamatan jadi keutamaan

Selain itu, penglibatan agensi dan persatuan terutamanya agensi keselamatan seperti bomba dan persatuan pemandu pelancong taman negara dalam misi tersebut memberikan pendedahan yang lebih jelas kepada pegawai dan kakitangan MOTAC Negeri Pahang mengenai soal keselamatan membabitkan pelancong yang mendaki ke puncak Gunung Tahan lebih-lebih lagi mengenai bagaimana atau tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kemalangan di dalam hutan.

“Jadi ini akan memberi peluang kepada kami untuk melihat betapa pentingnya kursus-kursus berkaitan dengan rescue ini kita berikan kepada tourist guide sebab kita melihat bahawa tourist guide adalah pihak yang pertama sekali akan sampai ataupun berada di mana kemalangan ataupun bencana tersebut berlaku sebelum pihak keselamatan sampai. Jadi ini akan membantu kami merancang kursus-kursus atau aktiviti-aktiviti yang melibatkan rescue“, kata Datuk Idros.

Barisan pemandu pelancong atau guide Gunung Tahan.

Penglibatan agensi dan pesatuan lain seperti JKKN dan HAMOC pula dilihat dapat membantu dari segi promosi dan pendedahan berkenaan produk-produk pelancongan di Taman Negara Sungai Relau kepada orang ramai.

“Ini akan mendedahkan mereka mengenai dengan misi menawan gunung tahan dan juga produk-produk pelancongan di negara kita ini untuk kia dedahkan kepada pihak luar”, kata Datuk Idros kepada Majalah Libur semasa ditemubual.

Peserta sedang menyeberangi sungai ketika dalam perjalanan untuk ke puncak Gunung Tahan.
Peserta sedang menyeberangi sungai ketika dalam perjalanan untuk ke puncak Gunung Tahan.

Nyanyian Jalur Gemilang bergema di puncak

Menjelang sambutan kemerdekaan negara ke-62 yang akan tiba tidak lama lagi, misi menawan puncak Gunung Tahan ini juga diperkuatkan lagi dengan objektif untuk mengibarkan dan menyanyikan lagu Jalur Gemilang di puncak. Setiap tahun, tarikh 16 Ogos hingga 16 September adalah hari untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Selain daripada itu, papan tanda eksklusif Tahun Melawat Malaysia 2020 turut diletakkan di papan tanda puncak Gunung Tahan sebagai tanda kenang-kenangan kepada setiap pendaki yang mendaki Gunung Tahan sepanjang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 bermula dari 16 Ogos ini sehingga 31 Disember pada tahun hadapan.

Pegawai Bomba dan Penyelamat bergambar kenang-kenangan di puncak Gunung Tahan.

Merapoh simpan 1001 khazanah pelancongan

Dalam perkembangan lain, Datuk Idros turut berkata bahawa sekitar Merapoh berhampiran Taman Negara Sungai Relau itu turut mempunyai pelbagai khazanah produk pelancongan yang menarik untuk diteroka oleh pelancong yang datang ke negeri Pahang.

Selain daripada mendaki Gunung Tahan, pelancong juga boleh menerokai kawasan taman negara yang melibatkan hutan, sungai dan juga untuk melihat hidupan liar yang berada di kawasan pamah.

Sebahagian peserta sedang berhenti rehat sewaktu perjalanan menuju ke puncak.
Pendaki dari kumpulan yang sama-sama mendaki pada hari yang sama sedang berehat dan menyediakan minuman panas.
Pemandangan sekitar salah satu hentian iaitu checkpoint Kubang.

“Merapoh juga merupakan lokasi di mana terdapat lebih daripada seratus gua-gua yang kita promosikan sebagai salah satu produk utama di merapoh ini.

“Pada jun yang lepas kita telah buat satu program iaitu menerokai gua-gua di sini yang kita panggil Merapoh Cave Gathering yang melibatkan pelbagai pihak untuk kita menerokai keindahan kawasan gua dan kepelbagaian bentuk di dalam gua tersebut”, tambah Datuk Idros.

Antara tempat yang utama adalah di gua padang kawad, gua sanding, gua air mata dayang dan merupakan salah satu daya tarikan utama khususnya kepada pelancong-pelancong asing dan juga sekolah-sekolah antarabangsa di dalam negara kita. Pelancong yang ingin datang ke Taman Negara Sungai Relau boleh menggunakan satu lagi produk pelancongan yang unik iaitu pelancongan kereta api dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru untuk ke Merapoh, Pahang.

Oleh
Epul