Mi Racun kedengaran agak ‘keras’. Hidangan ini sangat popular di Batu Pahat, Johor dek mampu meracuni selera pelanggan walaupun baru pertama kali merasainya.
Jangan risau, mi ini tidak beracun ya untuk dimakan! Mi Racun resepinya diubah suai daripada mi tomato yang boleh didapati dalam dua pilihan, iaitu mi racun gearbox dan mi racun original.
Sejarah mi racun yang bermula daripada datuk pemilik gerai ini Muhd Hussein A Jabar yang berasal dari India. Datuknya bernama Naina Mohd, yang datang ke negara ini pada tahun 1960-an dan ketika itu hanya menjual pelbagai jenis rojak, termasuklah rojak mi. Kemudian timbul idea untuk membuat kelainan, dan datuknya mencipta resepi rahsia mi racun ini sehingga menjadi ketagihan kepada pelanggan yang menikmatinya.
Untuk merasai kelazatan mi ini boleh ke gerai gerai terletak di Taman Sri Jaya, Batu Pahat. Tiga lagi cawangan mi racun ini turut berada di Jalan Sultanah, Jalan Timah Sari dan Sri Gading.
Beroperasi setiap hari, kecuali pada Isnin minggu kedua dan keempat, perniagaan mi racun ini bermula pukul 4 petang sehingga 11 malam.
Gerai ini turut menjadi lokasi persinggahan kumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi yang berkunjung ke daerah Batu Pahat serta sekitarnya dan pelanggan yang paling jauh adalah pemilik motosikal berkuasa tinggi dari Thailand.
Sumber: Bernama