Mengembara solo? Kenapa tidak!
Ia kini bukanlah sesuatu perkara yang asing lagi. Melancong bersama keluarga mahupun rakan-rakan sememangnya menyeronokkan. Tapi tahukah anda percutian seorang diri juga mempunyai daya tarikan tersendiri serta memberikan cabaran baharu?
Negeri Selangor kini telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara dan sektor pelancongan telah dibuka sepenuhnya, jadi anda harus menerokai seleksi tarikan pelancongan di Negeri ini!
Memulakan percutian seorang diri pastinya dapat mengajar kita untuk menjadi seorang yang lebih teratur dan berdikari di masa hadapan. Jadi atur perjalanan anda dan pastikan anda kunjungi destinasi yang disenaraikan di bawah ketika melancong seorang diri ke Negeri Selangor!
Muzium Automobil Nasional terletak di Welcome Centre, Litar Antarabangsa Sepang yang merangkumi ruang pameran seluas 7,949 kaki persegi bagi tingkat bawah dan 10,577 kaki persegi untuk tingkat satu. Muzium ini dibuka pada tahun 2004 dan menampilkan sejarah perkembangan industri automotif negara.
Tingkat bawah mempamerkan segmen pengenalan Muzium Automobil Nasional serta sejarah perkembangan sistem pengangkutan di Malaysia dan produksi kereta-kereta terawal.
Manakala, di tingkat satu pula memaparkan industri permotoran di Malaysia secara umum. Sebagai pelancong solo, anda dapat melihat lebih 20 model tempatan dan antarabangsa termasuk kereta vintaj di sini. Sememangnya destinasi ini akan memberi keterujaan untuk pelancong solo!
Makanan yang wajib anda cuba ketika anda berada di Daerah Kuala Selangor tentunya adalah menu Mee Udang Banjir yang pasti membuatkan anda terliur! Ketika melancong seorang diri, anda mesti ingin mencari pilihan makanan yang sedap serta murah.
Mee yang disajikan dengan udang bersaiz besar dan kuah banjir ini akan memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan. Jadi, di sini lah tempat paling sesuai untuk anda mulakan sesi “food hunting”, dan nikmati makanan lazat tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa!
Pulau Ketam bukanlah sebuah tempat yang asing kepada penggemar aktiviti memancing, terutamanya di Negeri Selangor.
Pulau Ketam terletak berdekatan dengan Pelabuhan Klang yang merupakan lokasi yang popular untuk aktiviti perikanan. Peluang rekreasi sambil memancing ini akan memberi ketenangan dan masa bersendirian dalam suasana yang menyeronokkan kepada anda!
Habiskan masa terluang anda dengan melakukan aktiviti bersama para Hos Komuniti yang bertempat di 9 Daerah di Negeri Selangor! Hos Komuniti Selangor merupakan sekumpulan komuniti dengan pelbagai latar belakang, namun pastinya sangat “dekat” dengan cara hidup masyarakat setempat di sesebuah Daerah di Negeri Selangor.
Anda boleh rasai pengalaman melakukan aktiviti bersama para Hos Komuniti seperti belajar tentang cara memancing dan pemprosesan kelapa secara tradisional dari Hos Komuniti Sabak Bernam, atau belajar tentang cara pemprosesan Tempeh dan resipi-resepi Tempeh yang lazat dari Hos Komuniti Kuala Langat!
Aktiviti yang santai dan paling diminati ramai adalah membeli belah, sambil ‘cuci mata’! 1 Utama Shopping Centre merupakan Pusat Beli-belah terbesar di Malaysia yang tidak lekang dari kunjungan pelanggan.
Ianya merupakan lokasi yang ideal untuk anda kunjungi kerana menawarkan deretan kedai yang menjual pelbagai barangan yang mampu memenuhi keperluan dan keinginan anda! Tak lupa juga, di sini anda boleh cuba aktiviti sukan “FlowRider” atau “AirRider” Indoor Skydiving untuk sebuah pengalaman yang luar biasa!
Kredit: Tourism Selangor