Usaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengamalkan pelbagai inisiatif hijau ke arah bandar raya sejahtera dan mampan membuahkan hasil apabila Melaka telah dipilih sebagai finalis bagi kempen ‘We Love Cities’ di peringkat global.
Melaka terpilih ke peringkat global susulan negeri itu dianugerahkan sebagai pemenang ‘One Planet City Challenge’ (OPCC) peringkat kebangsaan kali kedua oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), baru-baru ini. Melaka merupakan antara 56 bandar raya di dunia yang terpilih dan antara negara lain yang terlibat pada peringkat akhir kempen ‘We Love Cities’ ialah Korea Selatan, Perancis, Norway, Kanada dan Turki.
Melaka sebelum ini, pernah mewakili Malaysia ke peringkat akhir pada kempen sama di San Francisco, Amerika Syarikat pada 2018 dan kerajaan negeri menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar memberi sokongan padu serta bersama-sama mengambil bahagian dalam kempen ini. Melalui kempen ‘We Love Cities’ kerajaan negeri berharap orang ramai dapat mengundi Melaka supaya dinobatkan sebagai ‘global winner’ dan seterusnya menempa nama di persada antarabangsa.
Kerajaan negeri juga melalui MBMB telah mengatur satu pasukan khas untuk mendapatkan pandangan orang awam meliputi aspek perkhidmatan bandar raya antaranya pengangkutan, penjanaan tenaga, reka bentuk bangunan dan bahan buangan.
Undian yang dibuka bermula 14 September 2020 lepas dan akan berakhir pada 11 Oktober 2020 ini boleh dibuat melalui pautan welovecities.org/melaka
dan maklumat lanjut boleh didapati dalam laman web MBMB iaitu www.mbmb.gov.my atau Facebook rasmi MBMB.Jom ramai-ramai bantu Melaka dipilih sebagai pemenang!
image via google | Sumber: Bernama