Mendengar nama Sungai Amazon sahaja ramai yang mengetahui bahaya dan rahsia alam ngeri yang menanti di sepanjang sungai yang melintasi beberapa negara Amerika Selatan seperti Peru, Colombia, Brazil, Bolivia, Venezuela, Ecuador,dan Guyana.
Jika diabadikan di dalam filem-filem atau dokumentari, Sungai Amazon seringkali dimomokkan serta dikhabarkan sebagai sungai yang sangat bahaya di dunia dan perlu dielakkan untuk dikunjungi. Mana tidaknya, kawasan disekitar Sungai Amazon didiami oleh komuniti peribumi yang masih tidak mengecapi arus permodenan. Mereka masih mengamalkan cara hidup kuno seperti memakan daging manusia dan sama sekali tidak menerima dan mengalukan kedatangan orang luar.
Selain itu, hutan dan sungai Amazon juga terkenal dengan haiwan pembunuh seperti ikan pirana, annaconda, buaya, serangga beracun dan binatang-binatang buas yang lain. Ada sebab atau tidak untuk anda menghabiskan masa selama hampir tiga tahun semata-mata untuk bersiar-siar di sepanjang sungai hutan Amazon? Semestinya ia kerja gila jika anda mempunyai impian untuk bercuti di sini!
Namun, seorang warga Britain, Ed Stafford membuktikan itu bukan perkara mustahil. Pada tahun 2010, dia yang berumur 34 tahun ketika itu mencipta sejarah apabila menjadi manusia pertama berjalan di sepanjang Sungai Amazon selama 860 hari.
Setelah meninggalkan dunia ketenteraan dan berpangkat seorang kapten, dia berasa sangat bosan dengan rutin pekerjaannya di pejabat. Ketika itu ada seorang rakan sekerja yang memberitahunya bahawa belum ada lagi manusia yang pernah dan ingin untuk berjalan disepanjang Sungai Amazon. Ed Stafford menganggap kenyataan rakannya itu sebagai satu cabaran pada dirinya.
Akhirnya dia tekad untuk melepaskan jawatan dan melakukan misi gila saranan rakannya. Ed Stafford bersama seorang rakan baiknya, Luke Collyer telah memulakan perjalanan pada 2 April 2008, meninggalkan Samudera Pasifik di bahagian selatan Peru. Pada awalnya, Ed Stafford merasakan bahawa perjalanan menjelajahi hutan sungai Amazon itu akan memakan waktu sekitar satu tahun, namun anggapannya itu ternyata silap.
Pada satu ketika di Peru, sekumpulan komuniti orang asli telah menangkap dan memenjarakan dia bersama rakannya itu kerana disyaki menjadi pembunuh haiwan sebelum dibebaskan selepas 48 jam ditahan. Luke Collyer pulang ke rumahnya setelah hanya mampu bertahan tiga bulan menjelajah bersama Ed Stafford. Mungkin rakannya beranggapan misi ini mustahil dan tidak patut diteruskan demi keselamatan diri
Namun, Ed Stafford tetap ingin meneruskan ekspedisi berjalan melalui hutan sebelum menemui seorang pekerja renjer hutan Peru, Sanchez Rivera. Setelah dipujuk Sanchez Rivera yang berumur 31 tahun sedia untuk membantunya sebagai penunjuk arah dan menemaninya sehingga ke lokasi penamat.
Sepanjang perjalanan, Ed Stafford dan Sanchez Rivera terpaksa berhadapan dengan pirana, ular anaconda, pusaran air, arus banjir, hujan tanpa henti, digigit ribuan nyamuk, dan penyakit berjangkit. Mereka juga perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada buaya Caiman yang panjangnya hingga 18 kaki.
Mereka berdua hidup dengan memakan pirana dan bahagian dalam pohon palm, serta berhenti seketika diperkampungan orang asli yang dikenali Sanchez Rivera di sepanjang sungai. Tetapi ancaman terbesar adalah masyarakat pribumi disitu yang telah dianiaya selama puluhan tahun oleh penguatkuasa wilayah, sehingga kaum ini sering curiga dan sering melakukan kekerasan kepada pengunjung asing.
Namun demikian, selama dua setengah tahun Ed Stafford tidak menyerah. Mungkin kerjaya sebagai seorang tentera pada masa lalu banyak membantunya untuk meneruskan kelangsungan hidup walaupun sukar. Dia bersusah payah berenang, naik semula ke batas disepanjang tepian sungai dan melangkah secara perlahan sambil menebas hutan dengan parang.
Kira-kira 85 kilometer lagi berjalanan sebelum tiba di lokasi penamat, Ed Stafford pengsan akibat kepenatan melampau. Walau bagaimanapun dia tetap menyambung perjalanan selepas berehat selama beberapa jam.
Ketika hampir tiba di lokasi penamat, Ed Stafford dan Sanchez Rivera kemudian berlari ke arah Lautan Atlantik di pantai Crispim Brazil, yang merupakan lokasi penamat jelajah Sungai Amazon.
Segala pengalaman indah dan detik sukar untuk menjadi manusia pertama berjalan menyusuri Sungai Amazon ini telah dibukukan dalam sebuah jilid berjudul Ed Stafford Walking The Amzon.
Ekspedisi itu melibatkan kos sebanyak AS$100,000 (RM315,200) yang ditaja oleh beberapa syarikat dan sumbangan. Sepanjang misi bahaya ini dia mendapati bahawa banyak pokok hutan ditebang sekali gus menyebabkannya memahami lebih mendalam mengenai peranannya untuk melindungi Amazon dan berusaha mengatasi masalah perubahan cuaca.
“Saya telah diberitahu bahawa saya akan mati. Namun, saya tidak mati. Saya kini berada di sini. Saya membuktikan bahawa jika anda mahukan sesuatu, anda boleh melakukannya,” katanya.
Sumber: FB Jasson King Fans Official