Melakukan aktiviti bercamping bersama keluarga boleh mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain. Inilah masakan berkumpul sambil bertanyakan perihal masing-masing.
Jadi bagi mereka yang mencari tapak camping paling best, boleh cuba layan Sojuk Riverside yang terletak di Batang Kali Selangor.
Menariknya pengunjung dapat melihat kejernihan sungai yang juga cetek dan untuk yang bawa anak 6 tahun ke bawah ada disediakan papan gelongsor terus ke sungai.
Kawasannya juga bersih dan terjaga. Pendek kata dengan harga serendah RM30, pengalaman camping di sini pasti memberi kepuasan berbeza.
Pengalaman bercamping bersama isteri dan anak-anak di Sojuk Riverside pada Jumaat dan Sabtu lepas. Kemsait yang sesuai untuk keluarga bagi saya. Kabin pun ada untuk yang tak nak pacak khemah.
Ads
Sungai jernih dan cetek, memang cun untuk bawa anak 6 tahun kebawah, siap ada papan gelongsor terus ke sungai. Kawasan bersih dan terjaga. Pagi-pagi kawasan pengumpulan sampah sudah dkbersihkan. Tandas dan sinki memuaskan, bersih dan tak berbau.
Untuk muslim, surau ada disediakan. Caj tapak khemah, RM50. Yang beratap dan berlantaikan simen RM130, boleh muat dua khemah besar. Kabin saya tak pasti.
Ads
Yang terbaik, tuan pemilik peramah, lembut berkata dan sudi membantu bila kita bertanya. Pekerja pun sentiasa berlegar-legar dengan walkie talkie mereka untuk melayan tetamu dan menguruskan parking kereta.
Di seberang sungai ni, ada satu kawasan persendirian (On The Rock) yang kita tidak boleh masuk. Penuh dengan rumput dan pokok-pokok besar, jadi pemandangan dari tapak khemah memang cantik menghijau. Pagi-pagi berkabus dan sejuk itu pasti, jadi memang santai.
Sojuk Riverside Jln Batang Kali – Genting Highlands, Kampung Kuantan, 44300 Batang Kali, Selangor 017-376 5668 https://goo.gl/maps/gwEWrwyU5zGNFuJL6
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Perjalanan untuk sampai ke puncak Gunung Semanggol yang terletak di daerah Kerian, Perak amat mencabar mental dan fizikal kami yang pergi dalam satu kumpulan seramai lapan orang. Bermula dengan laluan ladang kelapa sawit dan suasana sekeliling yang gelap membuatkan perjalanan cukup mencabar.
Seawal jam 5 pagi kami sudah bertolak bagi memastikan perancangan untuk sampai ke puncak sebelum matahari naik.
Dek kerana melalui ladang kelapa sawit, cahaya bulan yang mengambang tidak dapat menyinari laluan kami kerana dihalangi dengan pelepah pokok sawit. Mengambil masa hampir 30 minit akhirnya kami sampai ke penghujung ladang sawit.
Dari situ kami meneruskan pendakian di kawasan batu kapur pula. Pemilihan kasut sukan amat penting kerana untuk memelihara kaki daripada kulit melecet atau pun tergeliat.
Laluan kawasan batu kapur juga bagi kami begitu sukar kerana jalannya yang tidak rata dan terpaksa mendaki sedikit.
Setelah merintangi laluan kawasan batu kapur, kami menyeberangi sungai kecil untuk misi sampai ke puncak Gunung Semanggol. Tidak dapat dinafikan bunyi cengkerik di sekeliling amat menenangkan di tambah pula dengan suhu yang dingin, memberi semangat kepada kami untuk menawan gunung.
Hayati keindahan alam
Sewaktu perjalanan ada salah seorang daripada ahli kumpulan mengalami keletihan kerana laluan yang penuh ranjau. Mujurlah keperluan seperti air dan gula-gula telah di bawa kerana kami tahu keperluan ini amat penting ketika misi mendaki gunung atau bukit.
Walaupun kami semua telah bersedia dari awal, keadaan yang tidak dijangka ini tidak dapat dielakkan untuk aktiviti lasak seperti ini.
Bagaimanapun ketika di pertengahan perjalanan, ada satu lagi laluan yang amat mencabar berbanding laluan yang dilalui sebelum itu. Keadaan permukaan tanah yang licin membuatkan kami perlu sama-sama bertolak ansur.
Nasib kami agak baik kerana ada disediakan tali. Hal ini kerana tanah yang begitu licin mencabar permukaan tapak kasut untuk mengimbangi badan kami.
Sewaktu dalam perjalanan itu juga, kami dapat melihat binatang seperti kelip-kelip yang menyinari di suatu sudut kawasan. Sungguh perasaan ini merasa nikmat kebesaran Tuhan Yang Maha Kuasa.
Pada jam 6.30 pagi kami solat dipertengahan jalan dan seterusnya kami meneruskan perjalanan dan sampai ke puncak gunung setinggi 390 meter kira-kira jam 7 pagi.
Di atas puncak gunung, kami dapat melihat keindahan alam ciptaan ALLAH yang begitu menakjubkan. Dapat melihat matahari terbit antara yang paling dinantikan. Bukan sahaja suasana sekeliling sahaja yang mendamaikan tetapi kehijauan alam begitu mengasyikkan.
Bahkan kami dapat melihat kawasan sawah padi dan kampung yang berdekatan dari atas dan ia betul-betul membuatkan kami begitu teruja.
Walaupun ini hanyalah aktiviti yang singkat buat kami, terpancar kepuasan di wajah masing-masing setelah penat mengharungi perjalanan selama dua jam untuk sampai ke puncak.
Pastinya aktiviti lasak ini akan diteruskan lagi di lokasi yang berlainan kerana bukan sahaja dapat mengisi masa lapang tetapi meningkatkan stamina.
————————————————————————
Perkongsian pengalaman oleh pembaca Sinar Harian, Mohamad Zulfazdli Mohamad Hisam
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Bangunan Stesen Keretapi Tanah Melayu pada satu ketika dahulu merangkumi bangunan stesen, hotel dan pejabat pentadbiran dibina pada zaman kemuncak ketika berlakunya pembangunan pesat dan perubahan teknologi pengangkutan keretapi di Tanah Melayu.
Bangunan ini merupakan stesen ketiga di Kuala Lumpur yang merupakan sebuah bangunan beratap sementara menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang (Pengkalan Batu) dengan landasan keretapi yang pertama untuk menghubungkan bandar ini dengan kawasan-kawasan lain di Semenanjung Tanah Melayu.
Pada asalnya, bangunan stesen ini mengandungi tiga platform yang berkonsep ringkas dan terbuka dengan ruang legar yang luas berbumbung selari dengan platform. Stesen Keretapi Tanah Melayu ini merupakan antara bangunan terindah yang memperlihatkan perkembangan reka bentuk dan nilai estetika melalui kepelbagaian seni hiasnya seperti penggunaan berulang gerbang besar (Gothe) dan disulam beranda di setiap tingkat, serta tingkap besar dan kubah dengan tiang tegak terpintal yang terletak di empat penjuru bangunan.
Dalam lipatan sejarah, bangunan ini pernah mengalami kemusnahan dan kerosakan besar iaitu di bahagian sayap utara akibat terkena bedilan bom semasa Perang Dunia Kedua. Kemudian, pada 14 November 1968, bahagian yang sama di tingkat kedua musnah akibat kebakaran yang tercetus.
Kuala Lumpur merupakan tempat pentadbiran ketika zaman British sebelum Merdeka lagi. Disebabkan itu, Bandaraya Kuala Lumpur dihiasi pelbagai binaan agung serta struktur bangunan yang menpunyai nilai sejarah yang tinggi dan menarik. Sebagai rakyat Malaysia, anda seharusnya berbangga untuk menghayati sejarah tinggalan warisan ini. Jangan lupa untuk ambil gambar kenangan disekitar kawasan tersebut dan perkenalkan negara kita kepada orang luar melalui gambar-gambar destinasi menarik yang ada disekitar Kuala Lumpur ke dalam sosial media!
Foto: Google Image | Instagram
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Pekan, merupakan daerah yang tidak asing lagi buat negeri Pahang. Pekan, Bandar Diraja punya keunikan dan tarikan tersendiri yang boleh diteroka.
Nama Pekan diambil dari sejenis bunga yang banyak tumbuh di tebing-tebing sungai Pahang.Bunganya berwarna putih seperti bunga Melor, namun bakanya kini sudah tiada lagi untuk dikenalkan kepada generasi sekarang dan akan datang. Di Bandar Pekan juga terdapat sebatang sungai yang digelar Sungai Pekan (berhampiran Kampung Mengkasar) tetapi tiada bukti yang menyatakan Pekan mendapat nama dari sungai ini.
Pekan terletak 44 kilometer dari bandar Kuantan dan mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan dan terletaknya Istana Sultan Pahang serta kerabat Di Raja negeri ini. Pekan nyata destinasi percutian yang bukan saja menawarkan pelbagai tarikan menarik tetapi punya destinasi pelbagai menjadi tumpuan ramai.
Memancing Udang Galah & Ikan Sungai
Sungai Pahang sememangnya kaya dengan hasil terutama udang galah serta pelbagai ikan sungai. Mengikuti aktiviti menyusur sungai Pahang ini juga membawa pengunjung melihat sendiri perkampungan Kemboja yang menghuni pesisir sungai selain aktiviti harian mereka yang mengusahakan ikan sangkar.
Meaw Island
Bagi peminat kucing, jangan lepaskan peluang menyusuri Sungai dengan menggunakan kemudahan River Cruise ke Pulau Kucing atau Meaw Island. Berada di pulau ini bagai memberi satu kedamaian. Kucing-kucing terbiar yang dihantar ke pulau itu hidup bebas di kawasan yang dibangun begitu cantik. Di sini, tersedia tempat khusus buat pengunjung yang datang untuk bermesra dan melayan kerenah kucing-kucing yang ada serta pelbagai aktiviti lain termasuk meredah hutan.
Pekan Riverfront
Pekan Riverfront dahulunya hanya pulau kecil namun kini menjadi tumpuan bukan saja penduduk tetapi penganjur yang ingin mengadakan pelbagai acara selepas dibangunkan kembali. Ia kini menjadi lokasi beriadah seisi keluarga dan lokasi bersantai bersama rakan sambil menikmati pemandangan indah.
Pantai Air Leleh
Pantai Air Leleh merupakan lokasi dicadangkan jika ingin melihat anorama indah matahari terbenam, nyata memberikan penutup hari yang mendamaikan. Jangan lepaskan peluang untuk merakam foto indah sambil duduk di atas buaian ‘besar’ yang disediakan.
Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi
Pekan sememangnya terkenal dengan hasil tenun yang bukan saja halus pembuatannya tetapi juga menawarkan pelbagai jenis corak dan fabrik yang menarik. Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi yang merangkumi Pusat Tenunan Sutera Pahang adalah destinasi utama bagi pengunjung yang ingin melihat sendiri bagaimana kain tenun dihasilkan dari awal hingga siap. Hasilnya yang cantik itu boleh dibeli secara terus atau membuat tempahan terlebih dahulu dengan memilih pelbagai jenis corak kain yang disediakan.
Muzium Sultan Abu Bakar
Bagi yang meminati sejarah Pahang, Muzium Sultan Abu Bakar pastinya tidak mengecewakan dengan pelbagai galeri artifak, seramik, arkeologi dan kesenian. Mengunjungi Galeri Tun Teja di Muzium Sultan Abu Bakar juga nyata tidak mengecewakan terutama anda yang mencintai hasil kraf yang unik dan halus pembuatannya. Di dalam galeri ini dipamerkan rekaan baju diperbuat daripada kain tenun dan direka oleh pereka terkemuka negara. Sesuatu yang menarik perhatian di galeri ini bukan saja rekaan atau perincian setiap baju tetapi kain tenun yang digunakan. Pelbagai warna, rekaan dan corak yang sememangnya cukup mengujakan.
Muzium Masjid Sultan Abdullah
Bandar Diraja ini juga terkenal dengan tinggalan sejarahnya terutama bangunan lama seperti Muzium Masjid Sultan Abdullah. Muzium ini juga terkenal dengan gelaran ‘Taj Mahal’ Pekan dek warnanya putih, struktur binaannya yang unik dan kolam air di pekarangan masjid membuatkan ia kelihatan seperti klon kepada salah satu keajaiban dunia, Taj Mahal. Turut dikenali sebagai Masjid Putih, masjid ketiga terawal di bandar Pekan ini dibina dengan reka bentuk ‘Moorish’ dan berkonsepkan muzium dalam taman. Muzium ini mengandungi pelbagai komponen seperti ruang pameran, ruang solat, ruang diskusi dan ilmiah dengan mengetengahkan tiga segmen utama iaitu Sumbangan Islam dalam Tamadun Dunia, Islam di Pahang dan Koleksi Diraja.
Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak
Rumah Kelahiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak juga tidak harus lupa untuk dikunjungi. Terletak di Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi, rumah ini adalah rumah yang dibina semula mengikut reka bentuk asalnya oleh tukang yang mahir.
Pekan Sehari, Pekan
Ingin mencari juadan tempatan? Pekan Sehari terletak di pinggir Sungai Pahang dekat Kuala Semantan punya tarikan tersendiri terutama makanan tradisionalnya iaitu kuih Qasidah, Suji, Apam Baghdad, lemang periuk kera dan banyak lagi. Pilihan sayur kampung serta ikan sungai segar dan udang galah juga boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan.
Murtabak Mengkasar
Menjamu selera juga adalah daya tarikan sesebuah destinasi percutian dan Pekan juga tidak kurang hebatnya. Apa kata cuba kelazatan Murtabak Makassar yang punya keenakan tersendiri dan lebih tebal berbanding murtabak biasa kerana memiliki tiga lapisan tebal berinti daging dengan 21 jenis rempah-ratus berkualiti dan dimasak garing. Bagi yang sukakan keju, murtabak Mengkasar special memberikan anda rasa keju yang enak dan tidak memuakkan sekali gus membuatkan anda makan sehingga menjilat jari.
Makan Malam Ikan Bakar Segar
Pada malam hari, disekitar Pekan, banyak premis makanan menawarkan sajian makanan laut segar. Jangan lupa untuk singgah dan penuhkan perut anda dengan sajian yang lazat.