Mana Ada Kencing Tikus Di Lata Kinjang, Lata Iskandar & Kuala Woh! Memo Viral Adalah Palsu

Share

Tiada wabak Leptospirosis atau kencing tikus yang dilaporkan berlaku di tiga kawasan rekreasi di Tapah ( Lata Kinjang, Lata Iskandar dan Kuala Woh) sejak tahun lalu, seperti yang tular di media sosial.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak menafikan terdapat kes Leptospirosis atau kencing tikus di tiga kawasan riadah serta mandi-manda Taman Eko Rimba di Tapah.

Menerusi penafian yang dimuat naik dalam laman Facebook, jabatan itu menyatakan komitmen akan segera memaklumkan kepada umum jika berlaku kes Leptospirosis di kawasan berkenaan yang berada di bawah kendaliannya.

Kenyataan itu dibuat susulan tular satu memo Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Tapah bertarikh 27 Feb mengenai amaran terdapat banyak kes jangkitan Leptospirosis di Lata Kinjang, Lata Iskandar dan Kuala Woh.

Menerusi memo itu, pihak Pusat Perubatan Angkatan Tentera Batallion Keempat, RAMD, Kem Tapah menasihati semua anggota tentera serta keluarga agar tidak mengunjungi ketiga-tiga kawasan yang dinyatakan.

Menurut Jabatan Perhutanan, pihaknya telah membuat semakan serta siasatan dan memohon RAMD supaya memperbetulkan semula kenyataan itu. Sementara itu, menurut sumber memo itu hanyalah untuk edaran dalaman kepada para anggota dan keluarga sebagai langkah berjaga-jaga.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan Leptospirosis. Antara langkah itu ialah:

  • Memastikan sampah dan sisa makanan dibuang secara sempurna bagi mengelakkan hurungan tikus dan haiwan perosak yang lain.
  • Menjaga kebersihan persekitaran rumah/premis, premis makanan dan tempat rekreasi.
  • Mengelakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang berpotensi dicemari oleh air kencing haiwan, seperti berkelah dan berenang di kolam/sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna.
  • Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan daripada berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau saliran air/sungai yang aliran airnya perlahan di samping tidak minum air sungai/kolam yang tidak dimasak dan memilih premis makanan yang bersih.
  • Pemilik tempat rekreasi pula diminta mengambil tindakan kawalan dan pencegahan jangkitan itu dengan membersihkan kawasan persekitaran premis serta premis makanan di samping memastikan kawasan bebas daripada tikus dan haiwan perosak lain dengan mengambil langkah-langkah kawalan seperti memasang perangkap tikus dan menyediakan racun tikus di kawasan berisiko.
  • Selain itu, mereka juga perlu memastikan bilangan tong sampah bertutup adalah mencukupi mengikut keluasan kawasan rekreasi dan diletakkan di tempat-tempat yang strategik; mempunyai sistem perlupusan sampah dan sisa makanan secara sempurna dan berjadual dan memaparkan papan tanda tentang risiko jangkitan Leptospirosis.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna