Ketika negara sedang memerangi wabak COVID-19 dengan serius, ia memberi kesannya terhadap rakyat dan ekonomi negara.
Namun sedikit lega apabila sebentar tadi Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatan Rakyat berjumlah RM250 bilion bagi manfaat rakyat. Yang menariknya tiada satu pun golongan yang akan tercicir.
Sebelum ini jemaah menteri juga dikatakan akan menyumbang dua bulan gaji mereka kepada Tabung COVID-19, menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri. Gaji 32 menteri dan 38 timbalan menteri itu akan ditolak secara automatik untuk disalurkan kepada tabung tersebut. Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak COVID-19. Ada negara lain sudah buat begitu? Belum bukan? Malaysia yang pertama!
Usaha Perdana Menteri Malaysia ke-8 dan kerajaan dilihat begitu prihatin dalam menjaga kebajikan rakyat ketika negara menerima impak wabak COVID-19. Lebih separuh daripada peruntukan iaitu hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat dan meringankan beban yang ditanggung oleh semua rakyat.
Sedangkan ketika ini, banyak rakyat lain di negara serata dunia menderita dengan tekanan kewangan yang menghimpit, disebabkan COVID-19.
Lebih 4 juta isi rumah berpendapatan bulan RM4,000 ke bawah akan mendapat bayaran RM1,600 bagi meringankan beban yang dialami akibat impak COVID-19 ke atas ekonomi negara ini. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020. Bagi 1.1 juta isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000 pula akan menerima bayaran RM1,000, di mana ia akan dibayar sebanyak RM500 pada bulan April, manakala selebihnya pada Mei tahun ini.
“Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang. Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan pakej itu yang disiarkan secara langsung di media elektronik.
Sumber: Bernama