Hari Raya Aidilfiti merupakan perayaan utama buat yang beragama Islam khususnya di Malaysia. Ia merupakan kemuncak kepada ibadat puasa yang dilakukan pada bulan Ramadhan. Malam-malam terakhir berpuasa, pada zaman dahulu setiap keluarga dalam sesebuah perkampungan Melayu akan meraikan malam tujuh likur dengan memasang lampu berwarna-warni, panjut atau pelita disekeliling kawasan rumah.
- Malam tujuh likur menyerlah keunikan budaya Melayu selain meraikan perantau yang akan pulang ke desa serta kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang. Setiap kampung akan mula memasang pelita sepanjang jalan sebagai penyeri setiap rumah kerana pada zaman dulu tidak ada langsung kemudahan elektrik.
- Yang seronok tidak terkata sudah tentunya golongan remaja dan anak-anak kecil. Ketika ini mereka akan berpesta dan diberi kebenaran untuk bermain bunga api, berlawan meriam buluh dan membakar mercun hingga suasana beberapa hari sebelum raya menjadi riuh dan gegak gempita pada malam hari.
- Malam tujuh likur juga menandakan hari penduduk kampung atau sesebuah keluarga membuat persiapan sebelum 1 Syawal. Lazimnya beberapa rumah berhampiran akan bergotong-royong menyediakan juadah untuk dijamu kepada tetamu ketika hari raya seperti wajik dan dodol. Jiran tetangga akan sama-sama bergiliran kacau dodol walaupun hidup dalam suasana yang serba kekurangan.
Berdosa Sambut Malam Tujuh Likur?
Namun, sayangnya tradisi ini semakin lama semakin hilang dan dilupakan. Ada juga yang memutarbelitkan adat sambutan malam tujuh likur kononnya menyimpang daripada akidah dan ajaran Islam jika ada yang menyambutnya.
Ya, mungkin ada kebenarannya. Dahulu, ada yang melakukan tradisi pemasangan pelita dan terpengaruh meraikan malam tujuh likur dengan menerangi halaman rumah kononnya untuk menjemput malaikat masuk. Jika menjadi insan terpilih maka segala permintaan individu tersebut ketika malam Lailatul Qadar akan tertunai.
Ada juga yang mengatakan ia adalah cara untuk menjemput roh orang yang disayangi untuk pulang menjenguk keluarga untuk setahun sekali. Disebabkan tujuan asalnya telah menyimpang, itu yang menyebabkan malam tujuh likur dipersalahkan dek kerana ada insan-insan yang cetek agama.
Sambutan malam tujuh likur sebenarnya hanyalah merupakan satu tradisi warisan lama bagi memeriahkan perayaan yang bakal menjelma. Selalunya pemasangan lampu pelita semasa bulan Ramadan dilakukan terutama pada 10 malam terakhir sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Walau bagaimanapun Nabi Muhammad SAW sangat menganjurkan umatnya untuk menambahkan lagi ibadah pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Ia kerana pada salah satu malam ganjilnya ada Lailatulqadar yang mana pahala bagi sesiapa melakukan ibadah padanya lebih baik daripada 1,000 bulan. Baginda SAW bersabda dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari: ‘Carilah Lailatulqadar di malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.’
Selamat Hari Raya Semua!
Memasang pelita pada 10 terakhir Ramadan dengan tujuan sekadar memeriahkan rumah dan menambahkan keceriaan adalah diharuskan. Jika dipasang dengan niat tertentu seperti memudahkan malaikat masuk ke rumah atau memudahkan roh si mati pulang ke rumah, maka ia tidak patut dilakukan.
Selamat Hari Raya!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI