Jika bertandang ke Melbourne, jangan lepaskan peluang untuk menikmati Fine Dining gaya Melbourne. Antara yang boleh dicuba ialah Attica yang tersenarai di tangga ke 21 ‘San Pellegrino’s World’s Top 50 Restaurants’ untuk merasai hidangan yang disediakan oleh Chef Ben Shewry. Shannon Bennett’s Vue de monde juga merupakan pilihan yang baik untuk menikmati masakan Perancis sambil menikmati panorama indah bandar Melbourne.
Melbourne juga terkenal dengan budaya ‘Laneway Eating’. Nikmatinya di MoVida, Chin Chin Cumulus Inc. Brooks of Melbourne dan Izakaya Den untuk merasai budaya kafe di sini. Tidak tahu hendak bermula di mana? Apa kata anda ikuti Hidden Secrets Tours, Melbourne Food Experiences atau Melbourne Walk untuk merungkai rahsia dan budaya kulinari hebat Australia.
Semenanjung Mornington turut menjanjikan pengalaman di mana pengunjung boleh memetik sendiri sayuran dan buah-buahan segar. Kemudian, buat sendiri hidangan yang didambakan seperti pizza dan coklat dengan mengikuti kelas masakan yang ada disediakan di Green Olive yang bertempat di Red Hill.
Melbourne sememangnya terkenal sebagai wilayah kopi dimana kebanyakan kopi terbaik dunia dihasilkan di sini. Sejak mesin espresso dicipta di tanah Victoria pada tahun 50-an, keaslian kopi terus dikekalkan hingga ke hari ini.
Pastinya, anda boleh mencari kopi yang serasi dengan cita rasa anda di Traveller, Cup of Truth, Seven Seeds, Five Senses, The Sensory Lab, atau di Dead Man Espresso. Rasai sendiri pengalaman di sini atau melihat sendiri bagaimana kopi dipanggang di Market Lane Coffee.
Melangkah seiring dengan obsesi kopi di Melbourne, makan di luar untuk sarapan pagi atau sarapan lewat pagi adalah sebahagian besar daripada kehidupan penduduk di Melbourne yang boleh dirasai di St Ali, Pope Joan, Proud Mary, Top Paddock, Silo byJoost dan Cumulus Inc.
Perjalanan gastronomi tidak terhenti di sini di mana restoran terbaharu di Adelaide yakni Orana yang dimiliki oleh Jock Zonfrillo yang kini menonjolkan keunggulan hidangan dengan identiti dan budaya Australia diselitkan pada setiap hidangan di atas pinggan.
Dengan menggunakan bahan-bahan segar yang hanya boleh didapati di Australia, tentunya ia menjadi suatu pengalaman makan malam yang tidak dapat dilupakan.
Jika anda menginginkan sedikit kelainan, kami mencadangkan anda untuk pergi berkelah di Kangaroo Island sambil mencuba hidangan gourmet sambil bertemankan pemandangan alam dan hidupan liar yang menakjubkan.
Merasai keju tempatan, madu, marron, sayur-sayuran yang dipetik segar sambil ditemani koala, kanggaru dan penghuni lain di pulau ini pasti menjadi memori terindah untuk dikenang sampai bila-bila.
Akhir sekali, jangan lepaskan peluang untuk menikmati kemewahan hidangan gaya Barossa hasil tangan dari ‘kitchen garden’ milik Chef Ryan Edwards di The Louise yang terletak di Barossa Valley yang dikelilingi ladang-ladang anggur dan 15 suite mewah.
Tentunya ia akan melengkapkan perjalanan anda untuk merasai pengalaman menikmati hidangan di Australia sepanjang percutian anda di sini suatu hari nanti.