Makan Menu Bbq Kambing Sambil Rendam Kaki Dalam Sungai. Terbaik!

Share

Berada di tengah bandaraya Kuala Lumpur, agar sukar untuk mencari tempat makan yang istimewa bercirikan ‘nature’. Namun jika anda ke Restoran Bbq Lamb KL Kemensah pasti kemahuan anda itu akan tertunai. Uniknya lokasi makan ini dikelilingi alam hijau dan bonus terdapat air sungai semulajadi yang mengalir perlahan. 

Ramai yang berasa teruja apabila berpeluang menikmati makanan di Bbq Lamb KL Kemensah iaitu lokasi menjamu selera di tepi sungai. Anda bukan sahaja berpeluang menjamu selera hidangan barbeku pada tengah hari, malah berasa seronok apabila dapat mencelup dan merendamkan kaki ke dasar air sungai yang menyegarkan.

Bagi pelanggan yang datang membawa anak-anak pula, anda boleh membenarkan mereka bermain air di sini iaitu kawasan sungai yang cetek dan tidak membahayakan

Jika anda memilih meja makan untuk menjamu selera di dalam sungai, ia mula beroperasi  dari jam 12 tengah hari sehingga 5.30 petang sahaja. Ia boleh memuatkan 40 orang pada satu-satu masa. Selepas tempoh itu pelanggan boleh memilih untuk menjamu selera di dalam kawasan restoran tepi sungai yang dibuka sehingga jam 10 malam.

Selain ‘cara menarik’ makan di dalam sungai, semua jenis menu yang ditawarkan kepada pelanggan menggunakan cara memasak serta ramuan istimewa.

Kambing adalah pilihan utama di sini. Ia akan diasap di dalam rumah asap ini antara lapan hingga 10 jam lamanya. Kemudian jika telah mendapat pesanan daripada pelanggan, menj utama akan dipanaskan di atas arang seperti barbeku. Jadi anda tidak akan menunggu lama untuk menikmati makanan masing-masing. Hidangan akan sedia terhidang dalam masa 10 hingga 15 minit sahaja.

Macam menarik kan? Jika anda tidak makan menu kambing, pelbagai pilihan sajian lain yang ditawarkan seperti menu ayam dam makanan laut. Jom la singgah ke sini.

Sumber Foto: FB Bbq Lamb KL Kemensah

Oleh
Husna