Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi paling popular dalam rantau Asia Pasifik yang menjadi pilihan untuk dikunjungi pelancong. Paling best, di Kuala Lumpur ini ada beberapa tempat yang menjadi wajah sesuatu kaum tetapi boleh dikunjungi semua orang tidak kira bangsa samada Melayu, Cina atau India.
Dibina pada tahun 1888, Central Market berfungsi sebagai sebuah pasar yang basah yang menjual barangan untuk pedagang dan pelombong bijih timah pada masa itu. Ia kemudiannya berkembang pada tahun 1895 dan sekali lagi pada tahun 1920, 1921, dan akhirnya kepada saiz hari ini pada tahun 1933. Pada tahun 1986, Central Market sekali lagi diubahsuai. Kali ini ia tidak lagi menjadi pasar basah dan telah ditukar menjadi pusat seni dan budaya serta pusat membeli-belah.
Ia adalah tempat terbaik untuk menyaksikan budaya, seni dan kraf Malaysia. Pelbagai barangan dijual di sini, termasuk kraftangan, cenderamata dan hasil seni pada harga yang berpatutan. Pengunjung juga berpeluang menghasilkan potret mereka di sini sambil mencuci mata di sepanjang Jalan Kasturi bersebelahan Pasar Seni untuk melihat dan membeli cenderamata.
Brickfield atau dikenali sebagai Little India oleh masyarakat tempatan telah dibangunkan oleh Yap Kwan Seng yang merupakan Kapitan Cina Kuala Lumpur ke lima dan yang terakhir. Sebagai seorang ahli perniagaan beliau telah menjangkakan peningkatan permintaan untuk batu-bata di Kuala Lumpur. Maka beliau telah menubuhkan kawasan penghasilan batu-bata yang dipanggil Brickfield.
Brickfields juga turut digunakan sebagai depoh utama untuk Keretapi Tanah Melayu (KTM) sewaktu pentadbiran British. Pihak berkuasa British membawa masuk orang-orang dari India untuk bekerja dengan keretapi. Ramai yang tinggal di kuarters di sekitar Brickfields. Sejak itu, masyarakat India telah hidup dan kekal di sini dan menjadi warganegara Malaysia.
Oleh kerana masyarakat India yang besar, bilangan kedai-kedai dan restoran yang menjual barangan dan kuih-muih India telah berkembang sejak beberapa tahun yang lalu. Malah, kawasan itu terkenal dengan pelbagai hidangan asli masyarakat India seperti Nasi Daun Pisang. Terdapat juga kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan, pakaian dan lain-lain. Menjelang perayaan Deepavali, kawasan ini menjadi tumpuan untuk membeli-belah.
Petaling Street sangat popular bagi pelancong yang ingin mendapatkan barangan berbentuk cenderamata, pakaian, barangan elektronik dan barangan kulit pada harga yang berpatutan. Bagi yang gemar masakan Cina, di sini juga merupakan lokasi terkenal untuk menjamu selera.
Saban hari, Petaling Street tidak akan sunyi daripada pelancong asing dan juga pengunjung tempatan untuk membeli-belah. Jangan lupa untuk tawar-menawar harga barangan yang dijual peniaga di sini, jika anda bernasib baik, anda akan memperolehi dengan harga yang cukup berpatutan.
Jalan Bukit Bintang ialah kawasan tumpuan ramai pelancong dan warga kota untuk membeli-belah dan sumber hiburan yang masyhur di Kuala Lumpur. Tidak dapat dinafikan bahawa Bukit Bintang adalah salah satu kawasan beli-belah utama di Kuala Lumpur, menawarkan pelbagai jenis barang-barangan untuk memenuhi segala citarasa dan kemampuan berbelanjaan. Buat si ’kaki shopping’ membeli-belah sepuas-puasnya di kawasan segi tiga emas ini. Pasti anda rambang mata untuk memilih barangan atau pakaian yang berkenan di hati. Bagi yang gemar berhibur pada malam hari, Bukit Bintang antara destinasi yang tidak pernah tidur dan sunyi dek kunjungan orang tempatan dan juga pelancong.