Sungai Lembing, Pahang cukup terkenal kerana merupakan lokasi lombong bijih timah paling dalam di dunia. Namun, disebalik kesan tinggalan sejarah itu, terdapat rahsia alam yang mampu menarik perhatian ramai pecinta alam iaitu Air Terjun Pelangi terletak 16 kilometer dari Bandar tersebut.
Air Terjun Pelangi bukan sahaja menjadi destinasi utama penduduk tempatan bersantai malah sangat terkenal dalam kalangan pengunjung luar lebih-lebih lagi setelah menjadi viral di sosial media.
Bagi tujuan berlibur dan berekreasi pada hujung minggu, para pencinta alam semulajadi dan yang berjiwa adventure pasti memilih lokasi air terjun ini.Keindahan Air Terjun Pelangi sangat mengasyikkan umpama berada di satu dunia yang lain, atau pun boleh diandaikan seperti pemandangan dalam filem fantasi.
Para pencinta alam semulajadi akan terpesona dengan percikan aliran air terjun setinggi 250 meter dan kejernihan kolam air yang dihiasi dengan biasan sang pelangi yang indah.
Air Terjun Pelangi mempunyai beberapa pilihan perjalanan, sama ada untuk mendaki atau menggunakan perkhidmatan jentera 4×4 untuk ke tapak perkhemahan Lubuk Beruk. Jika tidak mempunyai jentera pacuan empat roda sendiri, bolehlah memilih pengangkutan yang biasanya ada disediakan oleh penduduk sekitar untuk masuk ke sana.
Cabaran Bermula
Perjalanan masuk ke tapak perkhemahan bakal membawa pengunjung merentasi kawasan hutan belantara selama hampir satu jam dan setibanya ke kawasan perkhemahan Lubuk Beruk, pengunjung bebas memilih lokasi yang sesuai untuk mendirikan khemah.
Menjadi pilihan buat pengunjung sama ada untuk bermalam di tapak perkhemahan (alatan perkhemahan perlu disediakan sendiri) atau meneruskan perjalanan balik hari ke kawasan Air Terjun Pelangi.
Jentera yang dinaiki pengunjung akan berakhir di tapak perkhemahan ini sahaja, maka penggembaraan untuk menggapai pelangi perlu diteruskan sendiri dengan aktiviti trekking. Anda juga boleh mengupah penunjuk arah untuk ke Air Terjun Pelangi tersebut untuk melancarkan perjalanan anda.
Boleh dikatakan Air Terjun Pelangi ini sesuai buat mereka yang sukakan cabaran. Jika ada yang ingin membawa keluarga, anda perlu pastikan keselamatan mereka sentiasa terjaga terutamanya kanak-kanak. Gunakan pakaian dan kasut yang sesuai untuk aktiviti menggapai pelangi ini.
Terlebih dahulu pengunjung perlu berjalan kaki kira-kira 45 minit untuk ke air terjun dengan merentasi arus sungai yang agak deras tetapi cetek. Laluan yang disediakan yang agak cerun dan kadang kala sedikit licin mengikut pada cuaca.
Menurut pemandu arah, jika sedikit lambat tiba mungkin pelangi tersebut tidak dapat dilihat. Ini kerana jika matahari sudah berada hampir betul-betul di atas kepala situasi ini menyukarkan proses pembiasan berlaku kerana untuk pelangi terjadi di air terjun, matahari harus berada di hadapan air terjun.
Mereka yang pertama kali sampai pasti terkesima dapat melihat salah satu air terjun yang tercantik di Malaysia walaupun perlu merentas hutan belantara. Suasana sekeliling yang damai memang menjanjikan kepuasan setelah berhempas pulas mendaki.
Untuk info, pengunjung boleh melihat pelangi sekitar pukul 8 pagi hingga 10 pagi pada ketinggian 50 meter daripada ait terjun itu.
Tip Best!
Selepas bermandi manda di Air Terjun Pelangi, apa kata sebelum pulang anda melawat sekitar pekan Sungai Lembing terdahulu. Terdapat pelbagai destinasi menarik untuk diterokai di sini. Antaranya: