Sungai Lembing, Pahang cukup terkenal kerana merupakan lokasi lombong bijih timah paling dalam di dunia. Namun, disebalik kesan tinggalan sejarah itu, terdapat rahsia alam yang mampu menarik perhatian ramai pecinta alam iaitu Air Terjun Pelangi terletak 16 kilometer dari Bandar tersebut.

Macam Mimpi Dapat Pegang Pelangi Di Sungai Lembing

Air Terjun Pelangi bukan sahaja menjadi destinasi utama penduduk tempatan bersantai malah sangat terkenal dalam kalangan pengunjung luar lebih-lebih lagi setelah menjadi viral di sosial media.

Bagi tujuan berlibur dan berekreasi pada hujung minggu, para pencinta alam semulajadi dan yang berjiwa adventure pasti memilih lokasi air terjun ini.Keindahan Air Terjun Pelangi sangat mengasyikkan umpama berada di satu dunia yang lain, atau pun boleh diandaikan seperti pemandangan dalam filem fantasi.

Para pencinta alam semulajadi akan terpesona dengan percikan aliran air terjun setinggi 250 meter dan kejernihan kolam air yang dihiasi dengan biasan sang pelangi yang indah.

Air Terjun Pelangi mempunyai beberapa pilihan perjalanan, sama ada untuk mendaki atau menggunakan perkhidmatan jentera 4×4 untuk ke tapak perkhemahan Lubuk Beruk. Jika tidak mempunyai jentera pacuan empat roda sendiri, bolehlah memilih pengangkutan yang biasanya ada disediakan oleh penduduk sekitar untuk masuk ke sana.

Ads

Cabaran Bermula

Perjalanan masuk ke tapak perkhemahan bakal membawa pengunjung merentasi kawasan hutan belantara selama hampir satu jam dan setibanya ke kawasan perkhemahan Lubuk Beruk, pengunjung bebas memilih lokasi yang sesuai untuk mendirikan khemah.

Menjadi pilihan buat pengunjung sama ada untuk bermalam di tapak perkhemahan (alatan perkhemahan perlu disediakan sendiri) atau meneruskan perjalanan balik hari ke kawasan Air Terjun Pelangi.

Jentera yang dinaiki pengunjung akan berakhir di tapak perkhemahan ini sahaja, maka penggembaraan untuk menggapai pelangi perlu diteruskan sendiri dengan aktiviti trekking. Anda juga boleh mengupah penunjuk arah untuk ke Air Terjun Pelangi tersebut untuk melancarkan perjalanan anda.

Ads

Boleh dikatakan Air Terjun Pelangi ini sesuai buat mereka yang sukakan cabaran. Jika ada yang ingin membawa keluarga, anda perlu pastikan keselamatan mereka sentiasa terjaga terutamanya kanak-kanak. Gunakan pakaian dan kasut yang sesuai untuk aktiviti menggapai pelangi ini.

Terlebih dahulu pengunjung perlu berjalan kaki kira-kira 45 minit untuk ke air terjun dengan merentasi arus sungai yang agak deras tetapi cetek. Laluan yang disediakan yang agak cerun dan kadang kala sedikit licin mengikut pada cuaca.

Menurut pemandu arah, jika sedikit lambat tiba mungkin pelangi tersebut tidak dapat dilihat. Ini kerana jika matahari sudah berada hampir betul-betul di atas kepala situasi ini menyukarkan proses pembiasan berlaku kerana untuk pelangi terjadi di air terjun, matahari harus berada di hadapan air terjun.

Ads

Mereka yang pertama kali sampai pasti terkesima dapat melihat salah satu air terjun yang tercantik di Malaysia walaupun perlu merentas hutan belantara. Suasana sekeliling yang damai memang menjanjikan kepuasan setelah berhempas pulas mendaki.

Untuk info, pengunjung boleh melihat pelangi sekitar pukul 8 pagi hingga 10 pagi pada ketinggian 50 meter daripada ait terjun itu.

Tip Best!

Selepas bermandi manda di Air Terjun Pelangi, apa kata sebelum pulang anda melawat sekitar pekan Sungai Lembing terdahulu. Terdapat pelbagai destinasi menarik untuk diterokai di sini. Antaranya:

  • Pekan Sungai Lembing Pekan Sungai Lembing dikenali sebagai ‘Kota El Dorado Timur’ pada suatu ketika dahulu di Tanah Melayu. Ini kerana kegiatan perlombongan telah menjadikan pekan ini terkenal. Malah merupakan antara kawasan lombong bijih timah bawah tanah terbesar di dunia.
  • Dianggarkan panjang terowong lombong bijih timah bawah tanah yang dibina melebihi jarak dari Kuala Lumpur ke Kuantan dengan kedalaman 396 meter. Kini, bekas lombong serta sebahagian bangunan lama Inggeris masih wujud dalam bentuk asal dan sekali imbas seperti pekan ala koboi dalam filem. Jangan lupa untuk merakam gambar kenang-kenangan di sekitar kawasan ini.
  • Mee Bandung Sungai Lembing. Tidak sah jika pengunjung datang ke Sungai Lembing tidak menjamu selera di kedai makan yang terkenal dengan keenakan mi bandung dan mi jawa.
  • Banyak kedai makan menu mi bandung yang terdapat disekitar ini. Pilih sahaja mana yang berkenan di hati. Lokasi-lokasi kedainya agak strategik iaitu berhampiran pintu gerbang pekan Sungai Lembing, memudahkan pengunjung untuk singgah di premis berkenaan. Kedudukannya juga amat sesuai untuk bersantai kerana terletak di pertembungan Sungai Kenau dan Sungai Kuantan.
  • Lebih menarik apabila terdapat sebuah jambatan gantung yang merentangi Sungai Kenau bagi kemudahan penduduk dan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi di sekitar kawasan itu yang menghijau.
  • Muzium Sungai Lembing Muzium Sungai Lembing menjadi salah satu daya tarikan disini. Siapa sangka, pekan kecil ini menyimpan sejarah yang mungkin tidak diketahui kebanyakan orang.

 

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI