Pesawat terbesar di dunia, Stratolaunch yang mempunyai dua fiuslaj dan enam enjin Boeing 747 melakukan ujian penerbangan sulungnya merentasi Gurun Mojave di California kemarin.
Pesawat karbon-komposit pertama itu dibina oleh Stratolaunch Systems Corp yang dimulakan oleh mendiang pengasas bersama Microsoft, Paul Allen.
Pesawat putih dipanggil Roc itu mempunyai sayap yang sama panjang dengan ukuran padang bola sepak atau 1.5 kali ganda lebih panjang berbanding pesawat Airbus A380. Sayapnya berukuran 117 meter, manakala sayap pesawat Airbus A380 hanya berukuran di bawah 80 meter.
Roc berlepas kira-kira jam 7 pagi waktu Pasifik (waktu tempatan kemarin) dan berada di udara lebih dua jam sebelum mendarat semula di Mojave Air and Space Port.
Pesawat itu direka untuk mengangkut roket dan kenderaan angkasa lain dengan berat mencecah sehingga 226,796 kilogram pada ketinggian 10,668 meter. Difahamkan, Strarolaunch adalah alternatif yang lebih fleksibel untuk melancarkan satelit berbanding pelepasan menegak roket kerana cara ini hanya memerlukan landasan yang lebih panjang untuk berlepas.
Menurut Stratolaunch, pesawat itu mencapai kelajuan maksimum 304 kilometer sejam (km/j) pada ketinggian 5,181 meter, bertujuan untuk menguji prestasi dan kualiti pengendaliannya.
“Ia penerbangan sulung yang menakjubkan, Penerbangan ini melebarkan lagi misi kami untuk menyediakan alternatif fleksibel kepada sistem pelancaran darat,”kata CEO Stratolaunch, Jean Floyd dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman web syarikat itu.
Paul Allen, yang mengasaskan Microsoft bersama Bill Gates pada 1975, mengumumkan penubuhan Stratolaunch yang dibiayai sendiri pada 2011.
Namun Allen meninggal dunia pada Oktober 2018 akibat limfoma bukan Hodgkins, hanya beberapa bulan selepas perkembangan pesawat itu didedahkan. Dikatakan asa depan syarikat berkenaan masih samar.
Sumber: Dailymail Sinar Harian