Nampaknya bagi yang berangan-angan ke Bali, lupakan hajat tersebut kerana Malaysia antara negara yang tidak tersenarai dibenarkan memasuki negara Indonesia. CNN Indonesia melaporkan hanya 19 negara dibenarkan memasuki pusat pelancongan terkenal dunia itu antaranya Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), New Zealand, Kuwait, Bahrain, Qatar, China, India, Jepun, Korea Selatan, Liechtenstein, Itali, Perancis, Portugal, Sepanyol, Sweden, Poland, Hungary dan Norway.
Nampaknya dalam masa terdekat nie, lupakan Bali tapi Perdana Menteri Thailand memberikan berita gembira buat yang bercadang travel ke negara tersebut kerana Malaysia antara 46 buah negara yang tersenarai dibenarkan memasuki negara berkenaan tanpa perlu menjalani kuarantin.
Memetik Berita Harian, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha semalam mengumumkan pelancong yang sudah menerima vaksinasi COVID-19 dibenar memasuki negara itu tanpa perlu dikuarantin mulai 1 November.
Senarai 46 negara dan wilayah itu adalah pertambahan ketara berbanding 10 negara yang diumumkan minggu lalu oleh Prayut, ketika beliau mengumumkan rancangan membuka semula negaranya bermula bulan depan.
Menurut Prayut, tambahan senarai itu disebabkan keperluan mendesak Thailand bagi merangsang sektor pelancongan serta perniagaan berkaitan.
"Kami perlu bergerak lebih pantas dan melakukannya sekarang. Ini kerana untuk menunggu segala-galanya sempurna, ia akan membuatkan kita terlambat," katanya menerusi laman rasmi Facebooknya.
Selain Amerika Syarikat, Britain dan China, pelancong yang divaksinasi dari sejumlah negara Eropah termasuk Perancis dan Jerman akan dibenarkan masuk, jika mereka memberikan ujian RT-PCR COVID-19 berstatus negatif.
Negara jiran, Kemboja dan Malaysia juga berada dalam senarai berisiko rendah, selain Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.
Ketika tiba di Thailand, pelancong perlu melakukan ujian COVID-19 serta membuat tempahan penginapan satu malam di hotel diluluskan kerajaan sementara menunggu keputusan, sebelum dibenarkan melakukan perjalanan dengan bebas.
"Kami tahu ini adalah langkah drastik serta meningkatkan risiko pertambahan jangkitan, tetapi ia adalah risiko yang harus diterima," kata Prayut.
Sebelum pandemik COVID-19, Thailand menarik hampir 40 juta pelawat dengan sektor pelancongan menyumbang hampir 20 peratus kepada pendapatan negara.
Tahun lalu, Thailand kehilangan kira-kira AS$50 bilion (RM207.9 bilion) pendapatan hasil pelancongan berikutan kemasukan pelancong asing merosot 83 peratus menjadi 6.7 juta.
Prayut sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 70 peratus populasi Thailand perlu divaksinasi awal tahun depan, sebelum kerajaan membuka kembali sepenuhnya sempadan negara.
Sehingga kini, hampir 40 peratus rakyat Thailand sudah menerima dua dos lengkap vaksin.
Thailand juga mencatat kira-kira 10,000 kes sehari dengan sebahagian besarnya penularannya disebabkan varian Delta.
Secara keseluruhan, Thailand merekodkan lebih 1.8 juta kes dengan 18,559 kematian. -Berita Harian / AFP