Hati tenang tatkala berada di puncak bukit yang tinggi untuk melihat alam yang terbentang luas. Di utara semenanjung Malaysia terdapat beberapa lokasi menarik untuk meninjau panorama indah dari aras ketinggian tinggi.
Tidak perlu ada stamina yang baik atau menjadi seorang pendaki hebat untuk sampai ke puncak tinggi semata-mata untuk melihat ‘view’ indah. Sesiapa sahaja tidak kira kanak-kanak, warga emas atau golongan kurang upaya berpeluang untuk berada di atas bukit atau gunung yang tinggi. Jika anda berada di nun utara semenanjung Malaysia, ambil peluang berlibur di Bukit Larut, Taiping Perak; Gunung Jerai, Yan Kedah; dan Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Jom la singgah!
Anda tidak harus melepaskan peluang untuk menghirup udara segar yang masih belum tercemar di Bukit Larut atau dikenali juga dengan nama Maxwell Hill yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Taiping. Ambil peluang untuk bersiar-siar sambil melihat pemandangan indah bandar Taiping hingga ke laut Selat Melaka dari ketinggian 1250 meter dari paras laut.
Pemandangan di waktu malam dari atas Bukit Larut tidak sama dengan pemandangan di waktu siang. Pada waktu malam cahaya lampu rumah, kilang, jalan raya dan kedai menerangi bandar Taiping. Jika di waktu siang suhunya di antara 15 hingga 25 darjah celsius berbeza pula di waktu malam, kedinginan semakin terasa dan suhunya boleh mencecah sehingga 10 darjah celsius ditambah pula dengan fenomena hujan bukit yang hampir setiap hari berlaku.
Info
Jarak perjalanan antara kaki bukit hingga ke puncak Bukit Larut adalah 13 kilometer dan mengambil masa 30 minit dengan kenderaan pacuan empat roda. Anda berpeluang merasai sendiri bagaimana perasaan menaiki kenderaan pacuan empat roda klasik itu melepasi 72 selekoh tajam, memang mendebarkan tetapi tidak perlu risau kerana kesemua pemandunya memang hebat dengan pengalaman memandu.
Dahulu Pulau Serai nama asal Gunung Jerai terkenal sebagai penanda arah buat pelayar-pelayar yang singgah berdagang di negeri Kedah. Tetapi kini ia lebih sinonim sebagai salah satu produk pelancongan di negeri jelapang padi itu. Buat anda yang ingin berkunjung ke sini hanya perlu melalui perjalanan sejauh 14 kilometer dari kaki gunung ke puncak. Jika tidak berkemampuan, anda tidak perlu mendaki kerana jalan menuju ke puncak itu boleh dilalui menggunakan kenderaan.
Gunung ini memiliki ketinggian 1,217 meter dari paras laut dan terletak di sempadan daerah Kuala Muda dan Yan itu sentiasa mendapat kunjungan daripada para pengembara dan pencinta alam yang ingin menerokainya tidak kira pada hari biasa atau cuti umum.
Gunung tertinggi di Kedah itu juga menyediakan kemudahan penginapan yang dikelilingi dengan pelbagai jenis flora dan fauna berwarna-warni. Kedinginan udara sekitar 18 hingga 25 darjah celcius amat menyamankan lebih-lebih lagi ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok yang menghijau. Pemandangan indah di sekeliling lokasi berkenaan juga pasti akan mengasyikkan setiap pengunjung kerana dari puncak resort berkenaan anda boleh melihat pemandangan sekitar negeri Kedah terutama pemandangan sawah padi yang luas terbentang indah.
Mitos
Keagungan sejarah Gunung Jerai dikaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang dikatakan membuka penempatan di kaki gunung dan legenda batu kapal kepunyaan Maharaja Merong Mahawangsa.
Satu lagi destinasi percutian yang mempunyai panorama menarik terdapat di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Bukit Bendera terletak di seberang pulau dan boleh dikunjungi dengan menggunakan keretapi Bukit Bendera. Dari puncak Bukit Bendera, anda akan dapat melihat seluruh negeri ini serta bangunan tertinggi di Pulau Pinang iaitu Komtar.
Selain menaiki keretapi kabel untuk tiba di puncak terdapat beberapa cara lain yang boleh digunakan untuk anda sampai ke sini. Antaranya dengan menaiki kereta atau pun kenderaan pacuan empat roda. Selain itu anda juga boleh memilih mendaki ke puncak jika ingin merasai kelainan.
Tips Ingin Mendaki
Untuk mendaki Bukit Bendera biasanya mengambil masa lebih kurang dua hingga ke tiga jam sahaja. Terdapat banyak trek yang boleh dilalui, antaranya laluan ‘Moon Gate’, laluan dari taman Belia Perbandaran, laluan dari dalam Taman Botanical, dan dari sebelah Air Itam. Paling menarik terdapat satu laluan terpanjang dikenali sebagai ‘Laksamana Trail’ untuk sampai ke puncak bermula dari Teluk Bahang.
Best kan? Apa lagi jom rancang percutian anda!