Lepas Phuket, Thailand Bakal Buka 3 Lagi Pulau Peranginan Termasuk Koh Samui Pertengahan Julai Ini

Share

Setelah membuka Phuket kepada pelancong luar bermula 1 Julai lalu, Thailand akan membuka tiga lagi pulau peranginannnya.

Pulau yang terletak di Surat Thani, selatan Thailang – Koh Samui, Koh Phngan dan Koh Tao kini sibuk membuat persiapan untuk menyambut pelancong asing yang lengkap divaksin bermula 15 Julai dalam usaha menghidupkan kembali industri pelancongan yang terjejas teruk.

Seminggu selepas pelancaran 'Phuket Sandbox' pada 1 Julai, Thailand kini beralih tumpuan kepada inisiatif 'Samui Plus' bakal menyaksikan pelancong antarabangsa dari negara berisiko rendah dan sederhana boleh mengunjungi pulau-pulau berkenaan tanpa menjalani kuarantin 14 hari di hotel.

Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) menyatakan permohonan Sijil Kebenaran Masuk (CoE) untuk 'Samui Plus' dijadual dibuka minggu ini.

Gabenor TAT Yuthasak Supasorn berkata, sekurang-kurangnya 1,000 pelancong asing dijangka tiba dan menjana sekitar 100 juta baht untuk 30 hari pertama pembukaan semula.

Beliau menjangkakan ketibaan pengunjung adalah lebih sedikit di bawah program ”Samui Plus" kerana pendekatan ini mempunyai lebih banyak sekatan.

"Pulau-pulau itu akan menarik kumpulan pelancong tertentu yang sememangnya suka mengunjungi Koh Samui, untuk merasai pengalaman kesihatan dan kesejahteraan atau mereka yang ingin belajar menyelam," katanya.

Inisiatif 'Samui Plus' sedang menunggu kelulusan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA).

Pada 1 Julai, Phuket sudah mula menyambut ketibaan pelancong asing yang lengkap divaksin di bawah projek perintis untuk membuka semula industri pelancongannya yang merudum akibat pandemik Covid-19.

Dalam lima hari pertama, sejumlah 32 penerbangan masuk dari Eropah, Timur Tengah dan Asia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, membawa 1,896 pelancong.

Thailand merancang membuka lebih luas pintunya kepada pelancong yang sudah divaksin untuk membantu merancakkan semula industri berkenaan.

Susulan syarat kemasukan yang ketat dan langkah kuarantin tahun lalu, ketibaan pelancong ke negara itu merosot kepada 6.7 juta tahun lalu berbanding hampir 40 juta pada 2019.

Pada 16 Jun, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha mengumumkan Thailand bakal membuka semula pintunya kepada pengunjung lengkap divaksin dalam tempoh 120 hari atau pada pertengahan Oktober.

Di bawah inisiatif 'Samui Plus', pelancong asing yang sudah divaksin dari negara berisiko rendah dan sederhana dikecualikan menjalani kuarantin tetapi harus tinggal di pulau terbabit selama 14 hari sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah lain di negara ini.

Pelancong asing mesti memohon CoE dan membeli insurans perubatan yang merangkumi rawatan Covid-19 dengan kos sehingga US$100,000 serta negatif ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Selain itu, pelancong asing hendaklah divaksin sepenuhnya dengan vaksin diiktiraf Kementerian Kesihatan Awam Thailand atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak kurang dari 14 hari sebelum tarikh perjalanan.

Pelancong juga mesti menempah dan membayar penginapan hotel di Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan.

Bagi pengunjung yang tiba di Koh Samui, setelah disahkan negatif Covid-19, mereka mesti berada di bilik hotel selama tiga hari pertama, dan hanya dibenarkan meninggalkan bilik untuk ke kawasan yang dibenarkan.

Hari ke empat hingga tujuh, pelancong boleh melakukan perjalanan mengikut atur cara program lawatan di Koh Samui sahaja.

Pada hari ke lapan hingga ke 14 boleh berjalan-jalan di Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao.

Sekiranya disahkan negatif pada hari ke-15, barulah mereka boleh melancong ke wilayah lain di Thailand

Sumber: Bernama

Oleh
Siti Zurina Mat Saman