Lepas 28 Tahun, Mak Yong Kembali Ke Kelantan & Ini Apa Yang Generasi Baru Perlu Tahu Pasal Mak Yong

Share

Selepas 28 tahun diharamkan di negeri Cik Siti Wan Kembang, tarian Mak Yong bakal kembali ke Kelantan selepas pengharaman terhadap tarian kesenian tersebut diangkat baru-baru ini.

Namun, sekalipun pengharaman tersebut dibatalkan, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan setiap penggiat seni tersebut perlu mematuhi syariah yang ditetapkan seperti menutup aurat semasa melakukan persembahan.

Ini adalah satu berita yang baik untuk semua penggiat seni Mak Yong yang berada di negeri pantai timur itu kerana seni tari tersebut sekarang boleh dipertontonkan kepada orang ramai.

Jadi, apakah yang berlaku 28 tahun dulu sehingga tarian Mak Yong ini diharamkan di negeri Kelantan? Jom kita singkap kembali sedikit info mengenai tarian Mak Yong itu sendiri.

Umum mengetahui tarian Mak Yong adalah seni tari tradisional masyarakat Melayu dan bertapak pada mulanya di negeri Kelantan. Malah, seni tari ini dikatakan wujud sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi.

Mak Yong mendapat pengikitirafan antarabangsa apabila UNESCO mengiktiraf seni tari Mak Yong sebagai salah satu Karya Agung Warisan Tidak Ketara Kemanusiaan

Elemen yang digunakan dalam seni tari Mak Yong ini mempunyai unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian sambil diiringi oleh instrument muzik dan vokal. Muzik adalah elemen yang sangat penting dalam setiap pementasan Mak Yong kerana muzik terutama daripada rebab digunakan untuk menarik penonton dan memaklumkan bahawa pementasan Mak Yong akan bermula.

Selain daripada itu, muzik juga digunakan untuk membentuk suasana yang menggambarkan emosi dan perasaan di setiap adegan. Selalunya suasana ini digambarkan dengan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh watak-watak utama dan juga korus / jong
dondang.

Menurut kisahnya, seni tari Mak Yong ini bukan sahaja dipertontonkan sebagai hiburan sahaja, malah turut digunakan sebagai medium di dalam perubatan tradisional dulu-dulu.

Penari yang terlibat dalam pementasan seni tari Mak Yong ini akan menggunakan perhiasan pakaian yang cantik dan boleh membuatkan anda terpersona melihat kejelitaan penari-penari dan juga kehalusan seni tari yang dipersembahkan kepada penonton.

Makyong dibawa ke negeri Che Siti Wan Kembang (Kelantan) oleh suku kaum Pattani lebih 200 tahun yang lalu dan berkembang ke negeri Jelampang Padi (Kedah dan Perlis).

Untuk pengetahuan anda semua, sebelum seni tari Mak Yong ini diharamkan oleh kerajaan Kelantan pada tahun 1991, seni tari ini menjadi satu pementasan Diraja oleh Kesultanan Kelantan sehingga sekitar 1920-an dahulu.

Dek disebabkan oleh seni tari Mak Yong ini sering dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan dan dilihat memesongkan akidah dan melanggar syariat, menyebabkan seni tari Mak Yong ini diharamkan langsung di Kelantan.

Seni tari Mak Yong ini hampir pupus tetapi, diharap dengan penarikan kembali pengharamannya di negeri asalnya, tarian Mak Yong akan kembali lestari dan diwarisi oleh generasi baharu akan datang.

Oleh
Epul